
Namun, perbelanjaan itu dilihat ‘kurang berbaloi’ memandangkan pengguna jalan raya terutama yang bekerja di bandar besar terperangkap lama dalam kesesakan setiap hari.
Dengan 33 juta kenderaan berdaftar dan lebih dua juta kereta baharu setiap tahun, Malaysia menuju krisis mobiliti meruncing, kata Wan Agyl Wan Hassan dari badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision.
“Kesesakan jalan raya menyebabkan kerugian dari segi produktiviti dan bahan bakar dianggarkan kira-kira RM20 bilion setahun.

“Setiap hari, kita ‘membakar’ sekitar RM54 juta hanya dalam bentuk kerugian produktiviti, – tidak termasuk penat, tekanan dan masa terbuang.
“RM54 juta hilang sehari ini bukan perkara kecil,” katanya kepada FMT.
Justeru, Wan Agyl berpendapat tiba masa masyarakat mengubah cara berfikir dan menjadikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan rel bandar contohnya MRT, LRT, KTM serta servis bas seperti Rapid Bus sebagai pilihan utama.
Terutama apabila menggunakan pengangkutan awam pada waktu di luar puncak, Wan Agyl berkata banyak manfaat boleh dinikmati pengguna.
“Ada lebih kualiti masa, boleh ‘cas semula’ tenaga tanpa perlu memandu, mengurangkan kos dan paling penting bebas daripada kesesakan,” katanya.
Menyentuh soal pencemaran, Wan Agyl berkata lambakan kenderaan di jalan raya berisiko menyebabkan pelepasan karbon serta meningkatkan suhu bandar-isu semakin kritikal ketika negara berdepan gelombang panas sehingga September depan.
“Jika kita dapat tingkatkan penggunaan pengangkutan awam walaupun 10% sahaja, kesannya pada ekonomi dan alam sekitar cukup besar,” katanya.
Walaupun kerajaan menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam, Wan Agyl mengakui mengubah persepsi rakyat terhadap perkhidmatan itu menjadi cabaran besar.
“Kita tak boleh lagi ambil langkah separuh jalan. Pengangkutan awam mesti jadi teras dalam dasar mobiliti negara, bukan sekadar projek sampingan,” katanya.
Beliau mencadangkan beberapa langkah berimpak tinggi antaranya menambah laluan bas perantara dengan waktu operasi lebih fleksibel.
Kerajaan juga boleh mempertimbang insentif pengguna pengangkutan awam seperti potongan cukai atau subsidi tambang dan pada masa sama memperkenalkan caj kesesakan dan bayaran parkir tinggi di pusat bandar.
Beliau turut mengesyorkan kerajaan memperkenalkan waktu kerja anjal untuk mengurangkan kesesakan di waktu puncak.
Wan Agyl memberi contoh penetapan dua waktu kerja iaitu dari 8 pagi-4 petang dan 10 pagi-6 petang yang boleh dibincangkan kerajaan dengan majikan.
“Konsep ini membolehkan orang ramai bergerak pada waktu yang mereka rasa paling selesa,” katanya.
Kerajaan juga boleh menggalakkan syarikat membuka pejabat satelit di luar pusat bandar seperti Kajang, Kepong atau Cheras, sekali gus mengurangkan tumpuan ke Kuala Lumpur.
“Kita ada kemampuan, paling diperlukan keberanian untuk buat perkara betul bukan sekadar popular.”