
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku dalam landskap politik semasa dan gabungan itu tidak akan bergerak solo.
“PN akan bertanding atas tiket gabungan. Parti bertanding sendirian sudah tidak relevan.
“Sebab itu kita lihat parti-parti kecil turut menyertai gabungan. Namun kemungkinan kerjasama dengan Warisan tetap ada kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku,” kata setiausaha agung PAS itu, menurut Sinar Harian.
Awal bulan ini, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata parti itu akan bertanding semua 73 kerusi menjelang PRN Sabah.
Beliau sebelum itu menyatakan pendirian sama untuk bertanding solo pada pilihan raya berkenaan kerana pakatan mereka adalah ‘bersama rakyat’ dan bukannya dengan parti politik lain.
Pada PRN 2020, Warisan menang 23 daripada 46 kerusi ditandingi. Namun, susulan beberapa siri lompat parti, parti itu kini hanya mempunyai 14 kerusi.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata pihaknya masih lagi dalam rundingan berhubung pembahagian kerusi di Sabah dan mengenal calon berpotensi.
Katanya, walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi namun beliau tetap optimis dengan peluang mereka pada PRN itu.
“Pembahagian kerusi masih dalam rundingan, kita belum boleh sahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana ia bergantung kepada kekuatan parti di Sabah.
“Kalau berjaya menang satu kerusi pun sudah dianggap kejayaan 100%.
“Setakat ini, kita hanya mempunyai seorang ADUN dilantik, iaitu pesuruhjaya PAS Sabah,” katanya.