Upko keluar Pakatan Harapan

Upko keluar Pakatan Harapan

Bekas komponen BN itu sertai PH secara rasmi pada Ogos 2021.

UPKO
Upko buat keputusan keluar PH berikutan mesyuarat khas Majlis Tertinggi dipengerusikan Presiden Ewon Benedick. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Upko mengumumkan keluar Pakatan Harapan (PH) selepas lebih empat tahun menyertai gabungan itu.

Keputusan dibuat berikutan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Upko dipengerusikan Presiden Ewon Benedick, menurut kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Nelson W Angang hari ini.

Untuk rekod, Upko sebelum ini sebahagian komponen Barisan Nasional (BN) sejak 1994 hingga 2018. Parti itu meninggalkan BN selepas PRU14 dan membentuk kerajaan negeri Sabah bersama Warisan serta PH.

Parti itu kemudian menyertai PH secara rasmi pada Ogos 2021 dan bertanding di Sabah bawah gabungan itu pada PRU15, menyaksikannya menang di Penampang menerusi Ewon dan Tuaran dengan Wilfred Madius Tangau.

“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihan raya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Upko memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.

“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH (Anwar Ibrahim) dan parti-parti komponen PH,” kata Nelson.

Dalam pada itu, beliau berkata, Upko bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah di bawah agenda ‘Sabah First’ agar peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti hak 40% hasil yang diperoleh persekutuan daripada negeri itu, dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Sabtu lepas, Ewon meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, memegang prinsip Upko untuk memperjuangkan MA63 dan hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan.

Penyandang DUN Kadamaian itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung hak Sabah atas 40% hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah selama hampir lima dekad.

Setakat ini, AGC belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin merayu keputusan itu atau sebaliknya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi cenderung mahu kerajaan tidak meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mengulas lanjut, Nelson berkata, Upko berpendirian bahawa hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah harus dijayakan, tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan MA63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.