
Menyifatkannya pengiktirafan penting terhadap kedudukan negeri itu dalam Perlembagaan, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak berkata rundingan kini dapat dibuat berasaskan aspek perundangan yang telah diperjelas mahkamah.

Menurutnya, pendirian untuk mempercepatkan rundingan juga selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dan peruntukan Perkara 112C Perlembagaan.
“Keutamaan kini adalah rundingan profesional, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah supaya hasilnya benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta generasi akan datang,” kata penyandang DUN Usukan itu dalam kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan keputusan Putrajaya untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt berkaitan hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan dari negeri itu.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri bersama Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, hari ini.

Sementara itu, bekas Adun Petagas James Ligunjang berkata keputusan itu menunjukkan komitmen jelas Putrajaya dalam menghormati MA63 dan kedaulatan Sabah.
Menurutnya, keputusan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu menjadi langkah penting menegakkan hak perlembagaan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
“Ini bukan sekadar isu kewangan. Ia melibatkan maruah dan kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas Malaysia.
“Keputusan kerajaan untuk tidak merayu adalah pengiktirafan kepada hak sah yang dipersetujui sejak 1963,” katanya.
“Ia juga membawa mesej kerajaan bersedia membina hubungan persekutuan-negeri yang lebih kolaboratif, berasaskan kepercayaan dan saling hormat.”