Upko dakwa Ewon hanya dilantik penyelaras, bukan pengerusi PH Sabah

Upko dakwa Ewon hanya dilantik penyelaras, bukan pengerusi PH Sabah

Setiausaha Agungnya Nelson W Angang berkata isu itu gagal diselesaikan kerana bantahan PKR Sabah.

ewon benedick
Pada pemilihan PH Sabah Disember 2024, Ewon Benedick menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Upko mendakwa Presidennya Ewon Benedick hanya dilantik sebagai penyelaras, bukan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah walaupun pemilihan Disember tahun lalu telah dibuat mengikut prosedur, kata Setiausaha Agungnya Nelson W Angang.

Nelson berkata keadaan itu menyebabkan keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa memberikan autonomi sebenar kepada PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.

“Kepengerusian PH Sabah oleh Upko melalui mesyuarat agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.

“Malah, Upko turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau mengumumkan keputusan rasmi Upko untuk keluar daripada PH yang diputuskan menjelang PRN Sabah pada 29 Nov depan.

Pada pemilihan Disember 2024, Ewon menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dipersetujui PKR Sabah kerana menurut mereka, jawatan pengerusi PH negeri sepatutnya milik parti itu, tanpa perlu dipertandingkan mengikut formula yang dipersetujui dan dipatuhi oleh semua komponen.

Seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan mendakwa pemilihan oleh PH Sabah itu merupakan cubaan untuk mengetepikan partinya.

Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, dilaporkan berkata keputusan pelantikan jawatan itu akan disahkan oleh majlis presiden pusat.

Namun, sehingga kini tiada sebarang pengumuman berkaitan perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.