
Mengumumkan perkara itu, Pengerusi GRS Hajiji Noor yakin kawasan disandang pembangkang itu kembali diwakili parti kerajaan supaya boleh dimajukan selaras slogan Bongawan Maju.
“Kalau GRS, parti komponennya, jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat dan bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS.
“Kita mahu menang”, katanya berucap pada majlis ramah mesra ketua menteri bersama rakyat Bongawan.
Pada PRN 2020, calon Warisan Daud Yusof menang dengan majoriti 1,802 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Anifah. Difahamkan Daud akan mempertahankan kerusi itu.
Semasa itu, Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis dan menteri luar bertanding atas tiket PCS.
Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Timbalan Menteri Luar Negeri Mohamad Alamin sebagai calon parti itu.
Sementara itu, Hajiji turut membidas tuduhan pembangkang yang mengatakan kerajaan hanya membuat pengumuman, tapi hasilnya tidak dapat dirasai.
Beliau memberi contoh kira-kira setengah juta anak Sabah dibantu menerusi peruntukan untuk pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.
Katanya, jumlah yang menerima manfaat itu adalah yang terbesar berbanding kerajaan sebelum ini berikutan kejayaan pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri.
“Dalam bidang pendidikan sebanyak RM1.3 bilion dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini, 500,000 anak Sabah kita bantu dalam tempoh itu. Biasiswa dulu hanya RM40 hingga RM50 juta setahun, tapi sekarang kita luluskan RM145 juta.
“Peningkatan ini disebabkan kita berjaya mentadbir negeri dan meningkatkan hasil. Dulu kutipan hasil hanya RM4 hingga RM5 bilion saja setahun, tapi sekarang mencecah RM7.5 bilion,” katanya.
Sehubungan itu, tegas Hajiji, rakyat diminta tidak terpedaya dengan retorik pembangkang yang merugikan.
“Mereka (pembangkang) cakap berapi-api macam jual ubat, mundar-mandir, pusingpusing, tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan kerajaan,” katanya.