
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ia melibatkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta kandungan mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak, selain boleh menyebabkan kegusaran dan kegentaran awam.
“Penyebaran maklumat tidak sahih juga boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyeru orang ramai berhenti menyebar maklumat tidak sahih kerana boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Zara Qairina yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lalu, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu keesokannya.