PRN Sabah penentu ‘hidup mati’ Umno, kata pemimpin

PRN Sabah penentu ‘hidup mati’ Umno, kata pemimpin

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir berkata keputusan PRN akan menggambarkan kemampuan BN menang kerusi Parlimen.

umno
Tugas besar menanti Umno untuk kembali menjadi dominan dalam kerajaan pada PRN tidak lama lagi, menurut Suhaimi Nasir.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Umno Sabah menyifatkan PRN tidak lama lagi sebagai perjuangan hidup mati parti terbabit di negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir mengakui tugas besar menanti partinya untuk kembali dominan dalam kerajaan seperti sebelum PRU14.

Suhaimi berkata, keputusan PRN juga akan menjadi bayangan kepada penguasaan bagi kerusi Parlimen di Sabah pada PRU16.

Suhaimi Nasir.

Ketika ini, Sabah menyumbang tujuh kerusi daripada 30 Parlimen dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU 2022.

“Saya melihat itu yang akan berlaku (hidup mati Umno untuk PRU16), tetapi kalau menang PRN kali ini dan jadi kerajaan, kita yakin menguasai minimum 12 kerusi Parlimen,” kata wakil rakyat Libaran itu ketika ditemui FMT di Parlimen.

Beliau menamakan Beluran, Batu Sapi dan Kota Belud antara kawasan Parlimen berpotensi dirampas BN jika gabungan itu mencatatkan kemenangan besar.

“Macam di Kota Belud rakyat melihat penyandangnya (Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan) telah dua penggal dan rakyat tak mahu terus dalam pembangkang,” katanya.

Difahamkan, BN akan bertanding 38 kerusi pada PRN Sabah dengan 90% daripada calonnya telah dikenal pasti.

Bulan lalu, penganalisis politik Bilcher Bala dilaporkan FMT berkata Umno Sabah dalam kedudukan paling lemah untuk berdepan PRN susulan percanggahan pendapat dua pemimpin tertingginya Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan.

Rahman dilaporkan berkata keputusan Umno Sabah keluar kerajaan negeri pada Januari 2023 sebagai satu kesilapan besar kerana melemahkan pengaruh parti itu dan sukar menjaga kepentingan rakyat.

Menurut timbalan ketua Umno Sabah berkenaan, tindakan itu mengakibatkan mereka kehilangan empat menteri, enam pembantu menteri dan lebih 2,000 jawatan akar umbi yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Bung pula meminta timbalannya berhenti mengungkit perkara lepas dan menegaskan tindakan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor bukan keputusan beliau sendiri, sebaliknya dibuat bersama kepimpinan Umno negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.