
Menurut Pengarahnya, Hamzah Ahmad, berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“JIPS ada menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.
Ketika ditanya sama ada siasatan turut membabitkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan Ketua Polis Daerah (OCPD), beliau hanya memberitahu ia masih dalam siasatan pihaknya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) M Kumar mendedahkan bahawa pegawai penyiasat dalam kes kematian Zara Qairina tidak mematuhi prosedur sepatutnya apabila tidak memohon bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar itu.
Beliau berkata kematian Zara dalam keadaan yang mencurigakan sekali gus memerlukan bedah siasat dijalankan.
Menurutnya, pegawai penyiasat itu dan penyelianya akan dirujuk kepada JIPS Bukit Aman kerana tidak mematuhi prosedur siasatan yang ditetapkan.
Pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu.
Sehari selepasnya, jenazah pelajar berkenaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.