Disyaki terlibat sindiket penyeludupan, 5 pegawai kanan tentera direman

Disyaki terlibat sindiket penyeludupan, 5 pegawai kanan tentera direman

Turut direman dua wartawan, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia serta wanita warga asing.

sprm
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA:
Lima pegawai kanan Angkatan Tentera (ATM) antara 10 individu direman kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan beroperasi di selatan tanah air.

Turut direman dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta wanita warga asing.

Empat suspek lelaki direman tujuh hari hingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman dua hari hingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita Indonesia direman tiga hari hingga 15 Ogos.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sumber berkata, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun ditangkap sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan polis Rabu lalu.

“Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan.

“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri dadah serta rokok dan barang lain dari negara jiran melibatkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya.

Sumber berkata, risikan dijalankan selama 12 bulan mendapati, sindiket dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera setiap kali menyeludup masuk barangan berkenaan dan rangkaian penglibatan pegawai terbabit dalam sindiket tersebut adalah besar serta kompleks.

Katanya, dalam operasi pada Rabu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.