Siasat mereka, bukan setakat tukar ke JPN Sabah, seru Ahli Parlimen

Siasat mereka, bukan setakat tukar ke JPN Sabah, seru Ahli Parlimen

Saifuddin Abdullah mahu pengetua, penolong kanan, dan semua warden sekolah Zara Qairina Mahathir disiasat.

Ketua Portfolio Pendidikan PN Saifuddin Abdullah sifatkan langkah tempatkan sementara pegawai sekolah SMKA Tun Datu Mustapha tidak mencukupi.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menyeru pengetua, penolong kanan hal ehwal murid, dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha turut disiasat.

Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mengulas tindakan Kementerian Pendidikan yang bertindak menempatkan mereka sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, susulan kematian Zara Qairina Mahathir, 13.

Katanya, langkah menukar tempat semua mereka tidak cukup.

“Siasat mereka, bukan sekadar tukar tempat,” katanya yang juga ketua portfolio pendidikan Perikatan Nasional (PN) di X.

Awal hari ini, KPM menjelaskan penempatan pegawai sekolah berkenaan dibuat sehingga siasatan polis melibatkan kes kematian Zara Qairina selesai.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan siasatan melibatkan kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu diambil alih Bukit Aman melalui pasukan petugas khas.

Tiga hari lalu, jenazah Zara Qairina digali semula untuk bedah siasat selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lanjut kematiannya.

Kelmarin, Bukit Aman mengumumkan akan mengambil alih siasatan kes itu.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.