KPM kaji semula SOP, sistem aduan kes buli

KPM kaji semula SOP, sistem aduan kes buli

Ketua pengarah pendidikan berkata guru serta pegawai pendidikan di peringkat daerah atau negeri yang tidak mengambil tindakan terhadap laporan buli akan berdepan tindakan.

Portal Aduan Buli akan dipermudah dengan pelajar yang membuat aduan mempunyai pilihan untuk kekal tanpa nama bagi melindungi identiti mereka.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan melaksanakan beberapa langkah membendung kes buli dan memastikan keselamatan pelajar di institusi pendidikan di bawah seliaannya.

Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata langkah itu termasuk penambahbaikan SOP keselamatan sekolah dan tatacara menangani masalah disiplin, termasuk kes buli.

“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Audit keselamatan akan dilaksanakan segera di semua institusi pendidikan, termasuk sekolah berasrama.

“Audit ini akan menumpukan kepada tahap pematuhan SOP keselamatan dan hasilnya dibentangkan kepada pengurusan tertinggi kementerian dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata, kementerian juga akan menambah baik portal Aduan Buli, dengan sistem dipermudah dan pengadu diberi pilihan untuk kekal tanpa nama bagi melindungi identiti mereka serta saksi.

Kementerian turut akan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan untuk memperkukuh aspek keselamatan di sekolah, melibatkan ahli akademik, pakar pelbagai bidang, NGO, polis dan ibu bapa.

“Tiada kompromi terhadap kes buli. Tindakan tegas mesti diambil termasuk menggantung atau membuang pelajar yang membuli,” katanya, sambil menambah bahawa program intervensi untuk pelajar digantung turut diperkenalkan.

Beliau berkata, guru serta pegawai pendidikan di peringkat daerah atau negeri yang gagal mengambil tindakan terhadap aduan buli akan dikenakan tindakan.

Langkah ini susulan kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan polis menggali semula mayatnya untuk bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kematian tersebut.

Bedah siasat itu selesai malam tadi selepas mengambil masa lapan jam.

Kematian Zara Qairina turut mencetuskan perhimpunan di beberapa lokasi di Sabah pada Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.