
Beliau berkata, masyarakat Malaysia kini terpolarisasi akibat jurang dalam sistem pendidikan, dengan golongan bukan Melayu memilih sekolah vernakular kerana menganggap kualiti sekolah kebangsaan sudah merosot.
Lantaran itu, wujud kecenderungan berlakunya segregasi kaum, di mana anak-anak membesar dari peringkat sekolah rendah ke universiti dan alam pekerjaan tanpa banyak bergaul dengan kaum lain.
Menurutnya, kurangnya interaksi ini mencetuskan rasa syak wasangka dan tidak selamat antara kaum.
“Tanpa interaksi, tiada persefahaman dan rasa hormat, serta tiada cubaan melihat dari perspektif orang lain,” katanya, memetik contoh PAS di Terengganu, yang komposisi penduduknya seragam.
Rafizi berkata, golongan muda pada zamannya, sekitar 1960an dan 70an, tidak berasa goyah dari segi ekonomi dan politik seperti generasi muda masa kini.
“Hanya dasar pendidikan negara yang mantap mampu menghapuskan kegusaran Bumiputera, sekali gus membuka jalan untuk menamatkan dasar-dasar berkaitan Bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas sebuah forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.
Menurut Rafizi, isu hak istimewa Bumiputera sangat sensitif dan memerlukan pendekatan progresif bagi meredakan kebimbangan dalam kalangan komuniti itu.
“Persoalannya, adakah lebih baik jika semua dasar Bumiputera dihapuskan dan sistem dirombak semula? Atau kita uruskan isu ini secara progresif, satu demi satu dasar?” soalnya.
“Kita tidak boleh lagi teruskan urusan seperti biasa dalam isu sekolah kita. Inilah tunjangnya.”
Beliau berkata, kerajaan perlu lebih banyak melabur dalam Kementerian Pendidikan (KPM) dan melantik menteri yang mempunyai iltizam untuk menerajui reformasi yang berani, bukan sekadar menjadi pentadbir harian.
Katanya, mutu guru, sukatan pelajaran dan prasarana perlu dipertingkatkan bagi memulihkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan.
“Kita perlu lantik individu yang sanggup mulakan reformasi dan maklumkan kepada rakyat … inilah permulaannya,” katanya.
“Masa depan negara terletak di bilik darjah. Selepas kita sampai ke tahap itu, barulah boleh dibuka perbincangan tentang dasar Bumiputera, pendidikan, keadilan sosial dan lain-lain.”