
Ketua Warden asrama Azhari Abd Sagap berkata ibu kepada pelajar berkenaan yang dirujuk sebagai pelajar A, menghubunginya melalui WhatsApp dan mengemukakan dua sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan.
“Pada 28 Julai, ibu pelajar A menghantar sijil cuti sakit bermula dari 28 Julai hingga 4 Ogos.
“Pada 7 Ogos, beliau menghantar sijil baharu untuk tempoh 8 Ogos hingga 18 Ogos,” kata Azhari seperti dilapor Astro Awani ketika menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang remaja yang dituduh membuli Zara.
Azhari berkata ibu pelajar A juga meminta cuti pada 26 Julai dengan alasan anaknya trauma selepas didakwa diganggu oleh ibu Zara Qairina melalui WhatsApp.
“Beliau menyatakan anaknya trauma dan memberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya nama anaknya terus disebut. Saya menasihatkan agar perkara itu dilaporkan terus kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Inkues di hadapan Koroner Amir Shah Hassan akan bersambung Isnin depan, membabitkan saksi-saksi dalam kalangan pelajar.
Semalam, Azhari memberitahu mahkamah bahawa seorang daripada pelajar yang didakwa pada 20 Ogos kerana menggunakan perkataan mencela terhadap Zara tidak lagi tinggal di asrama sama kerana mengalami trauma.
Beliau berkata selain pelajar A, empat lagi pelajar masih berada di SMKA Tun Datu Mustapha dan dipanggil untuk sesi kaunseling serta memberikan kenyataan.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di asrama sekolahnya pada jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.
Arahan itu dibuat susulan keputusan pada 8 Ogos supaya mayat Zara digali semula bagi tujuan bedah siasat.