
Ketika prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Sarjan Zaiful Mashadi Zainal Abidin berkata, beliau lebih mengutamakan proses memasukkan banduan lain ke dalam sel berbanding menolong mangsa yang jelas tidak berada dalam keadaan baik.
Zaiful berkata, beliau nampak mangsa, Gan Ching Eng, berjalan terhuyung-hayang di Blok E sebelum tumbang, namun tidak memeriksa lelaki itu mahupun membantunya, sebaliknya terus menyambung kerja memindahkan banduan lain.
Beliau turut mengaku tidak terlatih memberikan bantuan perubatan kecemasan dalam situasi seperti itu.
Beliau kemudiannya mengaku, beliau sepatutnya mengutamakan banduan yang tercedera dan bersetuju kegagalannya berbuat demikian boleh dianggap sebagai kecuaian.
“Saya tersilap anggap dia hanya disembur lada,” katanya.
Beliau tidak bercakap dengan Gan atau memeriksa pernafasannya, dan hanya menyedari betapa seriusnya keadaan itu kira-kira 20 minit kemudian.
Zaiful berkata, beliau akhirnya mengarahkan dua banduan agar mengusung Gan ke pintu pagar utama dengan memegang tangan dan kakinya – satu tindakan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
SOP menetapkan bahawa hanya pegawai yang boleh mengendalikan banduan dan ia perlu dilakukan dengan menggunakan pengusung. Bagaimanapun, tiada pengusung yang tersedia di Blok E pada ketika itu.
Seorang lagi pegawai yang bertugas di Blok E, Sarjan Azhari Edris, menafikan sebarang kecuaian tetapi mengaku membuat beberapa andaian yang salah mengenai keadaan Gan.
Azhari berkata, beliau melihat Gan terbaring di atas lantai sambil dikipas oleh dua banduan lain, dan diberitahu bahawa Gan ‘letih’.
Beliau bertanya kepada Gan apa yang tidak kena tetapi tidak menerima sebarang jawapan. Beliau kemudiannya membuat andaian bahawa Gan mengalami kesukaran bernafas, mungkin kerana asma, tetapi tidak cuba mendapatkan bantuan perubatan.
Azhari berkata, beliau meneruskan tugas memasukkan banduan lain ke dalam sel mereka kerana percaya keadaan Gan tidak kritikal.
“Dia masih bernafas walaupun lemah,” katanya.
Azhari juga mendakwa, Zaiful memberitahunya yang beliau sudah memaklumkan kepada seorang pegawai lain bahawa Gan perlu bantuan perubatan, lalu tidak mengambil tindakan susulan. Bagaimanapun, Azhari kemudiannya mengaku beliau tidak nampak sesiapapun benar-benar datang membantu Gan.
Beliau mengakui beliau tidak menilai keadaan Gan dengan betul, menyatakan beliau sekadar mengagak banduan itu keletihan.
“Saya hanya memandangnya sekilas lalu,” katanya.
Apabila ditanya sama ada keadaan Gan sepatutnya diutamakan, Azhari bersetuju dan berkata, tindakannya akan berbeza sekiranya ahli keluarganya dalam keadaan yang sama.
Inkuiri Suhakam ini menyiasat dakwaan bahawa kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan dalam proses memindahkan mereka dari Dewan B ke Blok E di Penjara Taiping pada 17 Jan.
Inkuiri yang diketuai oleh Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki itu turut meneliti dakwaan bahawa serangan tersebut menyebabkan seorang banduan terkorban dan beberapa yang lain cedera.
Inkuiri diteruskan.