Pegawai saya bukan samseng, ketua penjara beritahu inkuiri

Pegawai saya bukan samseng, ketua penjara beritahu inkuiri

Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Abdul Aziz Abdul Razak kata kejadian 17 Jan yang menyebabkan kematian seorang tahanan adalah terpencil.

Abdul Aziz Abdul Razak
Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Abdul Aziz Abdul Razak kata beliau kecewa pegawai yang terbabit dalam kejadian 17 Jan bertindak melampaui kuasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komisioner jeneral Jabatan Penjara beritahu inkuiri awam mengenai dakwaan pencabulan hak di Penjara Taiping bahawa pegawainya tidak pernah berkelakuan seperti samseng dalam menjalankan tugas.

Abdul Aziz Abdul Razak berkata penderaan banduan bukan sebahagian budaya jabatan itu, dan banduan diurus selaras piawaian antarabangsa, iaitu ‘Nelson Mandela Rule’.

Aziz menegaskan kejadian 17 Jan yang menyebabkan kematian seorang tahanan, Gan Chin Eng, adalah terpencil.

“Berapa banyak laporan (mengenai serangan) dari penjara Taiping dalam setahun?” katanya.

“Insiden ini, yang disebabkan oleh beberapa individu, mencemarkan imej Jabatan Penjara.”

Pengerusi inkuiri, Hishamudin Yunus, membalas rakaman CCTV menunjukkan pegawai penjara berkelakuan agresif, menendang banduan dan mengancam mereka.

“Mereka kelihatan seperti samseng (dalam CCTV) dan mereka tidak takut akan sebarang akibat. Tidakkah anda rasa terganggu selepas menonton?” soalnya.

Aziz menjawab beliau kecewa pegawai terbabit bertindak melampaui kuasa.

Hishamudin: Jadi, adakah anda mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai terbabit?

Aziz: Kami biarkan polis menyiasat dahulu. Kami tidak boleh mengamalkan ‘double jeopardy’ (tidak boleh dihukum dua kali atas kesalahan sama).

Hishamudin: Proses mahkamah dan prosiding tatatertib mempunyai beban pembuktian yang berbeza.

Aziz: Kami masih menunggu polis (menyiasat). Selagi mereka tidak didakwa (di mahkamah), kami tidak boleh menggantung mereka.

Aziz menambah pegawai yang didakwa terlibat dalam insiden 17 Januari telah dipindahkan dari Penjara Taiping.

Hishamudin kemudian bertanya kepada ketua penjara itu sama ada pegawainya telah menghadiri sebarang kelas pengurusan kemarahan.

“Sebahagian daripada mereka datang (ke inkuiri) dan berkata mereka tidak menghadiri sebarang kursus dalam setahun,” kata pengerusi itu.

Aziz menjelaskan pegawai penjara perlu menghadiri kelas pengurusan kemarahan selama tujuh hari setiap tahun.

“Mungkin mereka tidak hadir,” tambahnya.

Sidang inkuiri bagi hari ini tamat selepas Aziz selesai beri keterangan.

Sidang akan mendengar hujah daripada peguam yang mewakili keluarga Gan, Jabatan Penjara dan Badan Peguam pada 15 Dis.

Inkuiri Suhakam sedang menyiasat dakwaan bahawa lebih daripada 100 banduan di Penjara Taiping diserang oleh sekitar 60 warden, semasa operasi pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Jan.

Inkuiri diketuai oleh Hishamudin selaku pengerusi Suhakam, dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki, juga meneliti dakwaan bahawa seorang banduan meninggal dunia dan beberapa yang lain cedera, akibat penderaan yang didakwa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.