5 warden dipindah susulan kejadian Penjara Taiping

5 warden dipindah susulan kejadian Penjara Taiping

Pengarah Penjara Perak, Fayrouz Ahmad Zawawi, kata kejadian itu memalukan dan sepatutnya tidak berlaku.

penjara taiping
Suhakam siasat dakwaan bahawa lebih 100 banduan di Penjara Taiping diserang oleh sekitar 60 warden semasa operasi pemindahan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai kanan Jabatan Penjara beritahu inkuiri awam berhubung dakwaan pencabulan hak di Penjara Taiping bahawa lima orang warden dipindahkan susulan kejadian 17 Jan lalu.

Pengarah Penjara Perak, Fayrouz Ahmad Zawawi, berkata beliau dimaklumkan mengenai pemindahan itu oleh rakan-rakan sekerja. Fayrouz tidak menamakan pegawai-pegawai yang dipindahkan itu.

Fayrouz berkata beliau sedar jawatankuasa disiplin ditubuhkan untuk menyiasat pegawai yang didakwa terlibat, namun menjelaskan beliau bukan anggota jawatankuasa itu.

“Mereka (jawatankuasa disiplin) jarang berkongsi penemuan (dengan pegawai kanan lain),” katanya.

Video berdurasi sembilan minit mengenai kejadian itu kemudian ditayangkan kepada Fayrouz secara tertutup.

Fayrouz berkata ini pertama kali beliau menonton video itu.

Pengerusi inkuiri, Hishamudin Yunus, kemudian bertanya kepadanya mengenai seorang timbalan pengarah di penjara itu yang dilihat “tidak melakukan apa-apa” untuk menghentikan orang bawahan daripada menyerang banduan.

Fayrouz berkata beliau tidak pasti sama ada timbalan pengarah itu melakukan sesuatu untuk meredakan keadaan.

Hishamudin: Keadaan menjadi ganas, dan jelas (pihak yang didakwa melakukan kekerasan) melanggar undang-undang persekutuan dan perintah tetap (Jabatan Penjara). Sepatutnya timbalan pengarah itu ambil tindakan, bukan?

Fayrouz: Sebagai seorang (pegawai) kanan, beliau sepatutnya ambil tanggungjawab.

Fayrouz mengakui orang bawahan mungkin telah “hilang kawalan emosi” semasa kejadian itu, dan berkata beliau akan mengambil langkah untuk menghantar mereka menghadiri kursus urus kemarahan.

“Kejadian itu memalukan dan sepatutnya tidak berlaku,” akui Fayrouz.

Suhakam menyiasat dakwaan bahawa lebih 100 banduan di Penjara Taiping diserang oleh sekitar 60 warden semasa operasi pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Januari.

Inkuri dipengerusikan oleh Hishamudin dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki juga meneliti dakwaan seorang banduan meninggal dunia dan beberapa yang lain cedera akibat dakwaan penderaan tersebut.

Inkuiri dijadualkan bersambung pada 10-12 September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.