
Ketika memasuki sekolah rendah pada April 1945, ayahnya sudah dihantar ke medan perang yang menyaksikan ramai terkorban.
Keluarga ditinggalkan hanya dengan ibu, kanak-kanak, datuk dan nenek selain sebilangan kecil orang.
“Kami tiada makanan. Saya sentiasa lapar,” Katsuko mengimbau kembali saat-saat sukar itu.
Sebulan selepas tahun pertama persekolahannya, kanak-kanak diarahkan berpindah dari Hiroshima susulan pengeboman api yang telah menjejaskan bandar lain termasuk Tokyo.
Katsuko dan kakak sulungnya dihantar ke ladang ibu saudaranya di pinggir bandar.
“Sudah ada empat keluarga lain berhimpit dalam rumah itu. Satu keluarga tinggal di kandang manakala satu lagi di bangsal. Semua orang lapar dan marah.
“Apabila makanan hilang, kami selalu dipersalahkan. Kami tiada ibu bapa bersama kami. Tiada siapa untuk membela.”
Namun, setiap Sabtu, Katsuko dan kakaknya berjalan jauh pulang ke rumah untuk berjumpa ibu mereka di bandar. Mereka akan tinggal satu malam dan pulang ke rumah ibu saudara mereka pada petang Ahad.
“Kami menangis. Kami merayu supaya dia membenarkan kami tinggal. Kami berkata: “Walaupun bom jatuh ke atas kami dan kami mati, kami mahu mati di sini bersamamu.”
Tetapi orang menyamar sebagai jiran yang berniat baik sering campur tangan.
Jiran-jiran kami memberitahu: “Jika bom jatuh, ibumu tidak akan dapat melarikan diri dengan dua anak.” Jadi kami kembali ke ladang. Ketika itu petang 5 Ogos 1945.”
Keesokan paginya, Katsuko bangun seperti hari persekolahan biasa. Dia berjalan ke kelas, tidak menyedari pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) sudah melintasi langit.
Bandar itu sudah terbiasa dengan bunyi pesawat pengebom AS. Apabila siren serangan udara berbunyi, orang ramai berlindung. Tetapi pada hari itu, tiada siren atau amaran. Hanya bunyi dengung rendah pesawat pengebom berat B-29.
Apabila loceng sekolah berbunyi, Katsuko melangkah masuk ke bilik kelas. Salah seorang rakan sekelasnya sedang bermain di tepi tingkap.
Di atas kepala mereka, sesuatu berkilauan. Kilauan logam di langit pagi, berputar dan berpusing-pusing sambil kanak-kanak di luar memandang.

Pada jam 8.15 pagi, bom atom meletup disusuli bunyi dentuman kuat 10 saat kemudiannya. Kesan kekuatan memecahkan tingkap sekolah yang terletak 3.5 km dari pusat letupan.
“Rakan sekelas yang sedang bermain di tepi tingkap tercarik-carik oleh serpihan kaca. Darahnya memancut seperti pancutan air.
“Guru itu mengangkatnya dan berlari-lari di sekitar halaman sekolah dalam keadaan panik. Wajahnya pucat, terganggu dengan penderitaan.”
Kanak-kanak itu tidak faham apa yang berlaku. Mereka berpaut pada pakaian guru mereka dan mengikut. Ibu saudara Katsuko tiba tidak lama kemudian dan membawa mereka pulang.
Pelajar yang bekerja di luar pada pagi itu menerima nasib malang. Mereka rentung sekelip mata. Apa yang tinggal hanyalah bayang-bayang mereka, hangus di tanah sebagai tugu peringatan kepada nyawa yang terkorban.
Mencari ibu
Pada pagi yang sama, ibu Katsuko yang kurang sihat tinggal di rumah terletak 1.3 km dari pusat letupan. Dia sedang bersarapan apabila bom itu jatuh.
Dalam sekelip mata, letupan itu menghancurkan rumah di sekelilingnya. Terperangkap di bawah rasuk musnag, dia menjerit sehingga seorang jiran mengorek melalui serpihan untuk menyelamatkannya.
Bimbang tentang ibu mereka, sepupu Katsuko menawarkan diri pergi mencarinya, hanya berbekalkan beg galas dan botol air. Tetapi dia kembali dalam masa kurang daripada 10 minit. Api menjulang dan perubahan rupa bumi menjadikannya mustahil untuk sampai ke bandar.
Tiga hari berlalu sebelum api reda. Katsuko, kakaknya dan ibu saudara akhirnya memasuki bandar. Apabila asap akhirnya hilang, keadaan di tempat itu cukup teruk.
“Kami melihat mayat bergelimpangan mana-mana. Kami tidak dapat mengenal pasti di mana rumah dan ladang. Kami tidak menemui apa-apa selain mayat rentung,” kata Katsuko.

“Malah mereka yang masih hidup, anda tidak dapat membezakan sama ada lelaki atau perempuan. Wajah mereka bengkak satu setengah kali saiz normal. Pakaian mereka telah terbakar.”
Selepas berjam-jam mencari, mereka pulang dengan kekecewaan. Hampir seminggu selepas bom jatuh, ibu Katsuko datang kepada mereka berjalan kaki, melalui hujan radioaktif dan runtuhan.
“Pada mulanya dia kelihatan baik, tetapi wajahnya pucat. Sangat pucat sehingga menjadi biru. Saya tidak pernah melihat warna seperti itu di wajah seseorang sebelum ini. Dia cuba bercakap tetapi hanya muntah darah.”
Penduduk Hiroshima memanggil bom itu ‘Pikadon; — ‘pika’ untuk kilat, ‘don’ untuk dentuman. Tiada siapa lagi yang memahami sifat radioaktif bom itu yang sebenar.
“Dia sedang nazak. Tetapi kemudian ayah kami pulang dari perang dan mereka mempunyai jenis darah sama.
“Dikatakan pemindahan darah mungkin membantu. Jadi dia mendermakan darahnya kepadanya, setiap hari.”
Ayah Katsuko balik dari perang pada awal musim sejuk yang menggembirakan keluarga terbabit yang kembali disatukan.
Tetapi pada tahun-tahun berikutnya, kesihatan ibunya mula merosot. Dia menghidap kanser payu dara sebelum merebak ke paru-paru sebelum tumor di otaknya. Dia mengembuskan nafas terakhirnya.
Perang secara rasmi berakhir pada 15 Ogos 1945, tetapi kesannya berlarutan selama berdekad. Kekurangan makanan berterusan, memaksa keluarga menjual kimono berharga untuk mendapatkan beras. Sesi persekolahan yag disambung semula diadakan di luar kerana tiada bangunan. Apabila hujan, kelas terpaksa dibatalkan.
Sekitar 80,000 orang rentung dalam sekelip mata oleh bom itu. Anggaran mengatakan hampir 200,000 telah meninggal dunia akibat kesan susulan.
Walaupun selepas menyaksikan kemusnahan kotanya dan kehilangan rakan, jiran dan keluarga, Katsuko, seperti kebanyakan mangsa terselamat, memilih tidak membenci orang AS.
“Tiada ahli keluarga saya yang cedera parah oleh bom itu sendiri, tetapi kami tidak pernah menerima sebarang pampasan daripada AS.
“Saya tidak rasa benci. Kemudian saya dihantar ke sekolah mubaligh. Guru-guru saya orang Amerika. Mereka orang baik. Tiada guna membenci mereka.”
Pada usia 86, Katsuko percaya kunci untuk hidup lama bukanlah dengan menyimpan kemarahan, tetapi dari segi sikap. Dia sering bangun awal, berjalan dengan anjingnya dan terus bercakap.
Harapannya ialah melalui kesedaran dan testimoni, orang lain akhirnya mungkin memahami kerugian nyawa manusia akibat perang.
“Kami mempunyai lebih ramai pelawat dari AS akhir-akhir ini. Nampaknya kepercayaan bom itu adalah kejahatan yang perlu sedang pudar, walaupun di AS.
“Kita tidak seharusnya berperang lagi. Tiada apa-apa yang lebih bodoh daripada perang.”