
Anwar berkata keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan pasukan masing-masing di kedudukan sedia ada mencerminkan pengiktirafan bersama bahawa sikap menahan diri adalah diperlukan, terutama sekali demi kepentingan orang awam.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata kenyataan bersama oleh Kemboja dan Thailand menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati Asean serta komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
“Ini menyediakan asas kepada kestabilan, dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh keikhlasan,” katanya.
“Ketika Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi Asean kepada Filipina pada tengah malam 1 Jan 2026, kami akan menyokong semua usaha bagi memastikan komitmen ini dipatuhi serta maruah dan kredibiliti Asean sebagai sebuah rantau yang aman terus dipelihara.”
Terdahulu hari ini, Thailand dan Kemboja dilaporkan bersetuju melaksanakan gencatan senjata ‘serta-merta’.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, mereka berikrar menamatkan pertempuran berdarah di kawasan sempadan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Keputusan itu dibuat selepas tiga hari rundingan sempadan yang diumumkan susulan mesyuarat krisis menteri luar negara-negara Asean, yang mana Kemboja dan Thailand adalah anggota.
Amerika Syarikat, China dan Malaysia turut mendesak kedua-dua jiran yang berkonflik itu untuk menyambung gencatan senjata.
Ketiga-tiga negara terbabit sebelum ini telah menjadi orang tengah bagi perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertembungan maut selama lima hari pada Julai lalu, tetapi gencatan senjata tersebut hanya bertahan seketika.