
Bagi penduduk wilayah yang telah melihat begitu banyak kemusnahan itu, mereka bergelut menghadapi kehidupan seharian.
Kebanyakan infrastruktur Gaza musnah, bekalan elektrik masih tidak menentu, manakala ratusan ribu orang hidup dalam khemah sementara selepas berulang kali terpaksa berpindah sepanjang perang dua tahun sejak Oktober 2023.
“Kami di Semenanjung Gaza hidup dalam mimpi ngeri yang tiada kesudahan,” kata Hanaa Abu Amra.
“Kami berharap mimpi ngeri ini akan berakhir pada 2026. Setidak-tidaknya kami dapat kembali kepada kehidupan normal – dengan bekalan elektrik dan keadaan jalan raya normal tanpa dipenuhi khemah.”
Sekitar Gaza – wilayah dengan lebih dua juta penduduk – rata-rata dapat dilihat betapa sukarnya kehidupan mereka.
Kanak-kanak beratur membawa bekas plastik untuk mengambil bekalan air, manakala di mana saja dipenuhi khemah dihuni keluarga-keluarga yang telah hilang tempat tinggal. Kawasan yang dulunya kejiranan meriah kini hancur akibat berulang kali diserang.
Ramai yang menganggap penghujung tahun ini sebagai tempoh berkabung dalam pada mereka menyemat harapan untuk tahun baharu.
“Kami mengucapkan selamat tinggal 2025 dengan rasa kesedihan yang mendalam,” kata Shireen Al-Khayali.
“Begitu banyak nyawa dan harta benda yang terkorban. Kami hidup bergelumang kesukaran, berpindah dari satu bandar ke bandar lain dalam keadaan ketakutan kerana berulang kali diserang.”
Pengalamannya itu senada dengan apa dialami penduduk Gaza lain yang berulang kali terpaksa berpindah segera dan membawa hanya sedikit barangan peribadi.
Namun masih ada penduduk yang menyemat harapan bahawa pertempuran akhirnya tamat pada tahun baharu ini, seterusnya membuka ruang untuk mereka membina semula hidup.
“Kami ucapkan selamat tinggal kepada 2025 dan semua kesakitan, dan berharap 2026 menjadi tahun penuh harapan, ibadah, kesungguhan dan kejayaan.”