Jawatankuasa ditubuh siasat kematian pelatih Palapes UTM

Jawatankuasa ditubuh siasat kematian pelatih Palapes UTM

Menteri pertahanan berkata jawatankuasa dianggotai tiga kementerian itu sudah mula menjalankan siasatan.

khaled nordin
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya belum mendapat laporan hasil bedah siasat pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Teknologi Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Pasir Gudang, Isnin lalu.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata jawatankuasa dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu sudah mula menjalankan siasatan.

“Saya difahamkan proses bedah siasat sudah pun dibuat, namun kita belum dapat laporan keputusan,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Pasir Gudang.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas dan fungsi menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Semalam, polis dilaporkan akan menyiasat secara terperinci punca kematian seorang pelatih Palapes UTM ketika menjalani latihan di Pulada Isnin lalu.

Ummu Haiman Bee Daulatgun dilaporkan berkata, sebab kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, belum jelas dan meragukan.

Katanya, pemerhatian terhadap jenazah anaknya ketika bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya tidak selaras maklumat awal punca kematian akibat sawan.

Justeru, ibu tunggal itu membuat laporan di IPD Kajang semalam bagi menuntut siasatan segera untuk mengetahui punca sebenar kematian anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.