Desakan PRU sekarang hanya ‘jerat’ pembangkang, kata penganalisis

Desakan PRU sekarang hanya ‘jerat’ pembangkang, kata penganalisis

Mazlan Ali dan Azmi Hassan berkata gesaan Dr Mahathir Mohamad supaya PRU diadakan segera hanya jejaskan pembangkang yang masih bergelut dengan calon perdana menteri.

vote
Dr Mahathir Mohamad dan Isham Jalil menggesa PRU diadakan segera utuk menentukan kedudukan pentadbiran Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Gesaan Dr Mahathir Mohamad supaya PRU diadakan sekarang boleh menjerat gabungan Perikatan Nasional (PN) yang disokong bekas perdana menteri itu kerana masih banyak isu membelenggunya, kata penganalisis.

Mazlan Ali dan Azmi Hassan senada pertikaian seperti calon perdana menteri tidak boleh diselesaikan segera kerana wakil PAS dan Bersatu selaku penggerak utama PN masing-masing mahu pemimpinnya diangkat.

Mazlan, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia menambah prestasi pembangkang yang dilihat kurang berkesan di Parlimen juga mungkin menyebabkan pengundi kurang teruja ‘memangkahnya’ jika PRU mengejut diadakan.

Menurutnya, usaha menggabungkan parti luar kerajaan di bawah Gabungan Pembangkang Bersatu (GPB) yang dicadangkan juga memerlukan masa untuk memastikan kerjasama kukuh.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Saya tak nampak pembangkang benar-benar bersatu dan sedia sambut PRU dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Mahathir mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU, susulan dakwaan perhimpunan pembangkang di Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu hanya disertai sekitar 18,000.

Penganjur mendakwa perhimpunan di Dataran Merdeka dihadiri lebih 200,000 orang.

Gesaannya itu disokong bekas pemimpin Umno Isham Jalil yang mencadangkan PRU16 diadakan serentak dengan PRN Sabah pada penghujung tahun ini.

Penggal pentadbiran Anwar hanya akan tamat pada penghujung 2027 dengan PRU16 boleh diadakan pada awal 2028.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi yang juga Felo Majlis Profesor Negara berkata gesaan Mahathir tidak logik memandangkan pentadbiran Anwar baru saja mencapai usia separuh penggal, selain sokongan padu lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pembangkang yang digerakkan PN juga tidak menunjukkan kemampuannya untuk mentadbir menerusi empat negeri ditadbirnya (SG4) iaitu di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.

“Paling ketara gagal pamerkan calon PM, bagi pengundi paling penting apabila ke peti undi untuk mengetahui siapa mahu ditampilkan jika sesebuah parti itu menang.

“Bagaimana nak pilih pembangkang jika calon PM pun tak dapat kemukakan dan hanya ditentukan selepas pembentukan kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.