Wanita maut, suami cedera kereta bertembung bas

Wanita maut, suami cedera kereta bertembung bas

Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar berkata bas dipercayai itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah bas di KM9 Jalan Bahau-Rompin di Jempol, Negeri Sembilan petang tadi.
SEREMBAN:
Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah bas dalam kemalangan di KM9 Jalan Bahau-Rompin, Jempol dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar berkata pada kejadian 3 petang itu, mangsa yang berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Kejadian berlaku ketika bas yang dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun bersama lima penumpang dari Rompin menghala ke Bahau dan setibanya di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai termasuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, pemandu kereta berusia 64 tahun bersama isterinya yang datang dari arah hadapan cuba mengelak ke kanan namun gagal dan berlaku pelanggaran di bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu bas dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan, manakala suami mangsa mengalami kecederaan ringan.

Norhisham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.