Kerugian berkait kerjaya tak termasuk nafkah pasangan, putus mahkamah

Kerugian berkait kerjaya tak termasuk nafkah pasangan, putus mahkamah

Hakim dalam satu kes perceraian pengasas bersama sebuah syarikat putuskan perceraian buka satu bentuk 'durian runtuh'.

kl high court
Hakim Evrol Mariette Peters berkata undang-undang tidak menjamin pengekalan taraf hidup yang sama selepas perceraian atau perpisahan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan seorang isteri untuk nafkah sementara, dengan alasan tuntutannya lebih menjurus kepada pampasan atas kerugian kerjaya berbanding sokongan kewangan yang sah di sisi undang-undang keluarga.

Hakim Evrol Mariette Peters berkata si isteri cuba menguji nasib untuk melihat berapa banyak yang boleh diperolehnya daripada mahkamah, satu tindakan yang disifatkan beliau sebagai tidak jujur.

“Saya terpaksa mengingatkan semua pihak bahawa perceraian atau perpisahan bukanlah satu bentuk durian runtuh atau usaha menjana pendapatan,” katanya dalam penghakiman setebal 23 muka surat.

Beliau menegaskan bahawa prosiding hal ehwal suami isteri adalah proses undang-undang untuk menangani keruntuhan hubungan rumah tangga, bukan untuk memperkayakan diri.

Pasangan itu, yang kini berusia lingkungan 60-an, berkahwin pada 1987 dan mempunyai tiga anak yang sudah dewasa.

Si isteri memulakan prosiding perpisahan pada 2022 dan memohon nafkah, namun ditolak mahkamah pada 2023. Si suami kemudian memfailkan permohonan cerai, menyebabkan si isteri mengemukakan semula tuntutan nafkah sementara sementara menunggu penyelesaian kedua-dua tindakan itu.

Pasangan ini merupakan pengasas bersama sebuah syarikat yang sangat berjaya dan mempunyai sejarah kerjasama perniagaan yang panjang, dengan si isteri memainkan peranan aktif dalam pengurusan sehingga 2018.

Peters, yang dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu, mendapati si isteri tidak memenuhi ambang undang-undang kemampuan dan keperluan yang ditetapkan undang-undang untuk tuntutan nafkah.

“(Si isteri) bekerja sepanjang tempoh perkahwinan. Beliau mempunyai aliran pendapatan yang stabil dan kukuh, serta secara konsisten menunjukkan keupayaan menjana pendapatan,” menurut penghakiman itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa beliau bebas dari segi kewangan dan mampu menyara diri sendiri tanpa bergantung kepada pempetisyen.”

Mahkamah turut mengambil kira portfolio kewangan si isteri yang besar, termasuk aset yang dimiliki di Amerika Syarikat.

Peters turut menekankan sifat tuntutan si isteri, yang berpunca daripada dakwaan kehilangan gaji, bonus, elaun dan caruman KWSP.

Si isteri mendakwa mengalami kerugian ini akibat pengaruh si suami ke atas syarikat yang menyebabkan beliau hilang kelayakan menerima imbuhan sejak April tahun lalu.

“Tuntutan beliau dirangka sebagai satu bentuk pampasan atau pemulangan kerugian kerjaya dan bukannya nafkah tradisional di bawah undang-undang,” tulis Peters.

Hakim berkata tuntutan yang dirangka sedemikian tidak dapat dipertahankan dari segi undang-undang.

Katanya, nafkah sementara adalah bertujuan untuk menangani kerentanan kewangan sebenar selepas keruntuhan rumah tangga—bukan untuk menyelesaikan aduan pekerjaan atau mengekalkan gaya hidup mewah terdahulu.

“Perlu ditegaskan bahawa undang-undang tidak menjamin pengekalan taraf hidup yang sama selepas perceraian atau perpisahan,” katanya.

“Bukan peranan mahkamah untuk mengekalkan kemewahan, tetapi untuk mengelakkan kemerosotan hidup yang mendadak atau tidak munasabah bagi pasangan yang memohon sokongan.”

Peters juga mendapati permohonan si isteri menjadi lemah kerana tiada dokumen yang menunjukkan perbelanjaan sebenar atau bukti bahawa si suami pernah memberikan sokongan kewangan secara konsisten semasa perkahwinan.

“Tuntutannya untuk jumlah yang sangat tinggi, semata-mata berdasarkan gaya hidup semasa perkahwinan, adalah tidak seimbang dan tidak selaras dengan prinsip-prinsip yang mengawal nafkah isteri,” kata Peters.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.