10 Jun keputusan kes saman syarikat barang kemas terhadap Rosmah

10 Jun keputusan kes saman syarikat barang kemas terhadap Rosmah

Mahkamah Tinggi arah semua pihak fail hujahan penutup dan balas sebelum 28 Mei ini.

rosmah
Global Royalty SAL menyaman Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula 43 barang kemas dihantar kepadanya atau bayaran sebanyak USD$14.6 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Jun untuk menyampaikan keputusan dalam saman berjuta-juta ringgit yang difailkan oleh syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah Mansor.

Hakim Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Siti Aishah Ramlan memaklumkan bahawa semua enam saksi yang dipanggil oleh polis telah selesai memberi keterangan. Polis dibawa masuk oleh Rosmah sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.

Quay mengarahkan ketiga-tiga pihak memfailkan hujahan penutup sebelum 15 Mei, dan hujahan balas pada 28 Mei.

Antara saksi yang memberi keterangan bagi pihak polis sepanjang dua hari lalu ialah bekas ketua jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Amar Singh dan timbalannya ketika itu Sakri Arifin, serta pegawai penyiasat 1MDB, Foo Wei Min.

Terdahulu hari ini, kontraktor Chong Tong Leong turut memberi keterangan.

Chong berkata beliau sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di Unit 45, Pavilion Residences antara Mac hingga Mei 2018.

Beliau berkata pada 14 Mei, beliau pergi ke unit tersebut untuk meneruskan kerja dan mendapati beberapa beg besar berada di salah satu bilik. Katanya, beg itu tidak pernah berada di situ sebelum ini.

“Saya terus meninggalkan unit itu kerana bimbang sesuatu mungkin telah berlaku,” katanya.

Global Royalty pada 2023 memfailkan saman untuk mendapatkan semula 43 barang kemas, atau bayaran sebanyak USD$14.6 juta sebagai nilai yang didakwa.

Dalam pembelaannya, Rosmah berkata 44 barangan kemas dalam simpanannya telah dipindahkan dari Seri Perdana ke Pavilion Residences untuk simpanan sementara.

Beliau berkata semua barangan tersebut telah dirampas oleh polis dalam serbuan yang dijalankan tidak lama selepas PRU 2018.

Satu barangan kemas telah dipulangkan kepada syarikat itu oleh polis pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.