
Amar Singh, yang mengetuai jabatan itu dari 2017 hingga 2018, berkata rakaman CCTV yang diperoleh menunjukkan seramai 23 individu terlibat dalam memindahkan barangan tersebut dalam tempoh dua hari, dari 11 hingga 12 Mei.
Beliau menambah bahawa kenderaan kerajaan digunakan untuk memindahkan barangan tersebut.
“Timbalan saya, Ahmad Noordin Ismail, beri taklimat kepada saya bahawa beliau melihat dalam rakaman CCTV di Pavilion Residences dua pembantu rumah dan beberapa individu lain membawa barangan itu ke Unit 45,” katanya, sambil memaklumkan unit tersebut sedang diubah suai ketika itu.
Amar memberi keterangan bagi pihak polis, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman difailkan oleh syarikat Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah Mansor.
Global Royalty pada 2023 memfailkan saman untuk mendapatkan semula 43 barang kemas, atau bayaran sebanyak USD14.6 juta sebagai nilai yang didakwa.
Bagaimana serbuan bermula, barangan ditemui
Amar beritahu mahkamah bahawa pada 16 Mei 2018, beliau mengumpulkan pasukan pegawai kanan berpengalaman untuk menjalankan pemeriksaan dan serbuan di beberapa lokasi sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan 1MDB.
Beliau berkata sebelum serbuan, beliau bersama pegawai penyiasat 1MDB ketika itu, R Rajagopal dan ketua polis negara ketika itu, Fuzi Haron bertemu dengan peguam negara ketika itu, Engku Nor Faizah Engku Atek bagi membincangkan perkara berkaitan 1MDB.
Menurut Amar, diputuskan dalam mesyuarat tersebut bahawa polis akan menggeledah semua premis yang dikaitkan dengan Najib.
Beliau berkata serbuan di Pavilion Residences bermula pada awal pagi 17 Mei, apabila pegawainya memasuki Unit 45 dan menemui beg berisi pelbagai mata wang asing serta barang kemas yang dibungkus dalam beg plastik berasingan.
Amar berkata mereka turut menemui kotak berwarna oren yang mengandungi beg tangan mewah.
“Wang tunai itu tidak dibungkus dengan kemas, dan apabila kami membuka (beg), wang itu jatuh ke lantai. Perkara yang sama berlaku dengan barang kemas.
“Kami terpaksa memasukkannya semula ke dalam beg,” katanya sambil menambah polis membalut semua bahan bukti dengan plastik gelembung sebelum dibawa ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Amar menegaskan bahawa semua bahan bukti dikendalikan dan dipelihara dengan baik sejak ia dikeluarkan dari Unit 45 sehingga tiba di Bukit Aman.
Ketika ditanya peguam Rosmah, Rajivan Nambiar sama ada polis memanggil Rosmah dan Najib hadir ke Unit 45, Amar berkata pegawainya cuba menghubungi mereka serta pemilik unit, namun tidak berjaya.
Bekas timbalan pengarah jenayah komersial Bukit Aman, Sakri Arifin turut memberi keterangan, menyatakan beliau menerima arahan daripada Amar pada 16 Mei 2018 untuk mengetuai serbuan di sebuah unit di Pavilion Residences yang didakwa milik anak Najib.
Bagaimanapun, beliau berkata tiada apa ditemui di unit tersebut, lalu mereka beralih ke Unit 45.
“Pengurus bangunan dan kakitangannya hadir ketika kami menggunakan khidmat tukang kunci untuk membuka pintu Unit 45.
“Unit itu sedang diubah suai. Kami menemui beg di situ, dan ia mengandungi barang kemas serta wang tunai. Terdapat juga kotak berwarna oren,” katanya.
Menjawab soalan peguam utama Rosmah, Rajan Navaratnam sama ada keseluruhan proses dirakam, Sakri berkata jurugambar polis hadir bersama mereka, namun beliau tidak pasti sama ada rakaman video turut dibuat.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Quay Chew Soon.