
Peguam Lim Chee Wee yang mewakili SRC, mengesahkan tarikh itu ditetapkan Penolong Pendaftar Mohd Syafiq Mustaza secara dalam talian.
“Prosiding pada bulan depan akan dijalankan menerusi Zoom (secara dalam talian),” katanya.
Selasa lalu Mahkamah Tinggi memutuskan bekas perdana menteri itu bertanggungjawab terhadap kerugian USD1.3 bilion yang dialami SRC, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam keputusan membenarkan saman syarikat itu berjumlah USD1.18 bilion terhadap Najib, mengarahkan beliau membayar jumlah berkenaan, selain USD120 juta yang diterima daripada syarikat terbabit ke dalam akaun bank peribadinya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan USD1.3 bilion.
Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan kos dan membenarkan Najib menangguhkan sementara pembayaran USD1.3 bilion itu dengan syarat beliau mengemukakan permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan.
Dalam penghakimannya, Fairuz yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata mahkamah mendapati Najib menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.
Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, sekali gus mengakibatkan penyelewengan USD1.1 bilion melalui struktur pelaburan palsu.
SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian USD1.18 bilion yang dialaminya.
Syarikat terbabit turut menuntut USD120 juta daripada Najib.