2 pegawai badan berkanun disyaki buat tuntutan palsu ditahan

2 pegawai badan berkanun disyaki buat tuntutan palsu ditahan

Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan palsu untuk kelulusan bayaran kira-kira RM45,000 bagi sebuah program.

macc sprm
Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
IPOH:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah menahan dua pegawai badan berkanun di negeri berkenaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran kira-kira RM45,000 bagi satu program di sebuah daerah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.

“Suspek wanita berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira 6.30 petang, 22 Julai dan susulan itu seorang suspek lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan semalam pada 5 petang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen tuntutan palsu untuk kelulusan bayaran kira-kira RM45,000 bagi sebuah program di bawah badan berkanun terbabit sedangkan program itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau mengingatkan semua pihak khususnya ketua-ketua jabatan untuk memperkukuh sistem dan prosedur serta tatakelola di jabatan masing-masing dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan penyelewengan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.