
Mahazam Ali, 47, yang berpangkat Kapten TLDM dan bertugas sebagai pengarah Cawangan Komunikasi, Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Mahazam didakwa menerima wang antara RM10,000 hingga RM14,400 bagi setiap transaksi, melalui beberapa deposit yang dibuat antara Oktober 2023 hingga April 2025 di sebuah bank di Shah Alam.
Wang itu didakwa diterima daripada Chong Gui Lin, melalui individu dikenali sebagai Siti Nor Badariah Marzuki bagi beberapa transaksi, ketika tertuduh memegang jawatan berkaitan sumber manusia dan kemudian komunikasi elektromagnetik di kementerian pertahanan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Atirah Mohd Azuarizanuddin manakala tertuduh diwakili Lee Keng Fat.
Lee merayu jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya yang menurutnya sudah berkhidmat 29 tahun dan masih bertugas dalam pasukan tentera.
Bagaimanapun, hakim menegaskan jawatan tertuduh menjadikan kes itu sangat sensitif, kerana melibatkan keselamatan negara.
“Ini kes serius kerana membabitkan komunikasi dan memberi kesan kepada pertahanan negara. Soal keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Awang Kerisnada menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 17 Dis sebagai tarikh sebutan semula.
Mahazam turut dilarang mengganggu atau menghubungi saksi, termasuk mereka yang mungkin berasal dari kementerian sama, serta dilarang mengakses fail atau data berkaitan kes.