
Presiden kumpulan hak asasi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan, yang menyaksikan kejadian itu mendakwa seorang anggota polis mencekak leher seorang penunjuk perasaan semasa ketegangan berlaku di sekatan jalan.
“Siapa yang beri hak kepada polis untuk buat begitu?” soalnya.
“Kalau bukan sebab YB Syed Saddiq yang datang bantu, saya tak tahu apa yang akan jadi,” katanya, merujuk kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
FMT menghubungi polis untuk mendapatkan maklum balas.
Kejadian berlaku ketika kira-kira 50 penunjuk perasaan – daripada kumpulan reformasi pilihan raya Bersih, Suaram, kumpulan pelajar, kesatuan sekerja dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil – berarak dari Taman Tugu ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menuntut reformasi.
Mereka dihalang di tengah jalan oleh polis daripada menghampiri pagar Parlimen.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘hidup rakyat, lawan akta zalim!’ sambil memukul gendang dan mengangkat sepanduk yang bertulis ‘lawan akta drakonian’.
Kumpulan itu kemudiannya didatangi beberapa Ahli Parlimen dan wakil rakyat, termasuk Syed Saddiq; Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Perikatan Nasional; Teresa Kok, Syerleena Abdul Rashid, Dr Kelvin Yii, Syed Ibrahim Syed Noh dan Khoo Poay Tiong daripada Pakatan Harapan; serta Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan.
Dalam ucapannya, Wan Fayhsal dan Ahli Parlimen lain yang hadir menyatakan sokongan kepada para penunjuk perasaan.
“Kalau saya sebagai Ahli Parlimen yang ada imuniti pun boleh dihukum kerana bersuara, bayangkan risiko yang dihadapi oleh rakyat biasa. Saya akan pastikan suara anda dibawa ke Dewan Rakyat,” kata Wan Fayhsal.
Yii, Ahli Parlimen Bandar Kuching daripada DAP, pula menegaskan hak berhimpun secara aman adalah hak perlembagaan yang sudah lama menjadi tradisi demokrasi di Malaysia.
Beliau menggesa pihak berkuasa tidak menyekat perhimpunan sebegini, sebaliknya ‘memudahkannya dengan lebih baik’.
“Satu rang undang-undang akan dibentangkan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman,” katanya. “Saya belum melihat draf terakhir, tetapi apabila saya lihat, saya akan pastikan ia benar-benar membawa reformasi yang sewajarnya.
“Tak kira kita setuju atau tidak dengan mesej perhimpunan itu, kita kena hormat hak mereka untuk berhimpun.”
Beberapa penceramah lain turut mengkritik kerajaan kerana gagal menunaikan janji memansuhkan Akta Hasutan dan memastikan reformasi undang-undang perhimpunan awam.
“Ini bukan kali pertama kita serahkan memorandum minta Akta Hasutan dimansuhkan,” kata Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz.
“Kita dah buat sebelum ini. Hari ini kita turun lagi untuk desak kerajaan dengar dan bertindak.”
Qistina Johari daripada Amnesty International Malaysia berkata, perhimpunan aman dan kebebasan bersuara kini dilihat sebagai ‘ancaman’ oleh pihak berkuasa.
“Protes bukan jenayah. Protes adalah tindakan patriotik,” katanya. “Akta Hasutan sepatutnya sudah terkubur bersama Empayar British — tetapi ia masih digunakan untuk lindungi golongan berkuasa.”