Keterangan tak cukup untuk dakwa Zamri Vinoth, Firdaus Wong

Keterangan tak cukup untuk dakwa Zamri Vinoth, Firdaus Wong

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata siasatan lanjut masih boleh dilakukan jika ada perkembangan baru.

Azalina Othman Said berkata tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang untuk dakwa Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
PETALING JAYA:
Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap penceramah bebas Zamri Vinoth dan Firdaus Wong namun tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan arahan dan keputusan.

“Saya dimaklumkan bahawa AGC setakat ini mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang untuk mendakwa kedua-dua individu yang tersebut di mahkamah.

“Kes jenayah, tidak seperti kes sivil, tidak tertakluk kepada had tempoh masa.

“Oleh itu, sekiranya terdapat perkembangan baru pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya mengapa penceramah bebas terbabit belum dituduh di mahkamah walaupun terdapat ratusan laporan polis dibuat terhadap mereka.

Polis sebelum ini menahan Zamri kerana disyaki menggugat ketenteraman awam melalui satu hantaran dimuat naik di Facebook.

Tahun lalu, Firdaus mendakwa dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis dibuat ke atasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.