
Azalina berkata, beliau keliru dengan kaji selidik dikatakan melibatkan ‘1,800 responden’.
“Saya pelik, 1,800 ‘survey’ itu dibuat ke atas siapa. Wakil rakyat, ahli biasa, Adun atau Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Saya sendiri tidak tahu sama ada mereka sudah disurvey atau tidak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu di Bangunan Hal Ehwal Undang-undang.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh pada Sabtu, yang secara terbuka menyeru kepimpinan tertinggi Umno menerima PAS sebagai sekutu baharu dan tidak gentar kembali menjadi pembangkang.
Berucap pada sidang konvensyen khas Pemuda, Adun Merlimau itu berkata sudah sampai masa dua parti Melayu-Islam terbesar bersatu di bawah satu bumbung demi kelangsungan survival bangsa.
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan pandangan Akmal bersifat peribadi dan tidak boleh dianggap pendirian rasmi parti.
“Itu pandangan dia. Khaled Nordin pun kata itu pandangan peribadi,” katanya merujuk kepada naib presiden Umno.
Azalina turut menegaskan sebarang keputusan besar melibatkan hala tuju parti perlu dibincangkan secara tertib dan berperingkat menerusi struktur parti.
Beliau menggambarkan proses membuat keputusan Umno seperti ‘adat dalam Islam’ menuntut tempoh dan perbincangan, bukan dibuat tergesa-gesa.
“Kalau nak bercerai atau nak nikah balik, mesti ada masa iddah. Tak boleh hari ini cakap nak cerai, semalam dah lafaz. Kena bincang betul-betul,” katanya merujuk gesaan Akmal untuk Umno bersatu dengan PAS.
Menurutnya, Umno sebagai parti ditubuhkan sejak 1946 telah melalui pelbagai cabaran dan memiliki kepimpinan yang matang serta berpengalaman dalam membuat keputusan.
Azalina berkata, perbincangan akan dimulakan dalam mesyuarat Biro Politik yang dijadualkan 4 petang ini, sebelum dibawa ke peringkat Perhimpunan Agung Umno (PAU), minggu depan.
“Umno ini parti lama, kita lalui macam-macam cabaran. Kepimpinan Umno ada kebijaksanaan mereka sendiri.
“Umno sentiasa bermesyuarah. Walaupun ahli Umno mungkin tidak nampak semuanya alim, tetapi budaya Melayu dan Islam itu tetap kita pegang.”
Konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu bertujuan menentukan sama ada parti itu kekal bekerjasama atau memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Ini selepas kegagalan pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, memohon maaf berhubung hantaran ‘meraikan’ keputusan penolakan rayuan tahanan rumah, bekas perdana menteri, Najib Razak.
Awal minggu lalu, Akmal berkata konvensyen itu dibuat bertujuan mengangkat suara sebenar akar umbi Umno yang masih setia dengan perjuangan parti.