
Ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil itu dilantik bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hingga 31 Dis 2028.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata bekas hakim besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai pengerusi manakala Lim Thean Shiang sebagai timbalan, lapor Bernama.
Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada Barhoum Abe Abed yang mewakili pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen, Mohd Kasyful Azim Ab Rahman sebagai wakil pemberi perkhidmatan rangkaian berlesen serta Ruzimi Mohamed sebagai wakil golongan orang kurang upaya.
Turut dilantik Zurkarnain Mohd Yasin, Thiyagu Ganesan, Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Wathshlah Naidu, yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran berkaitan keselamatan dalam talian.
Azalina berkata jawatankuasa itu tidak hanya memainkan peranan pentadbiran sebaliknya melaksanakan fungsi substantif merangkumi pemberian nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti seperti penganiayaan seksual kanak-kanak serta penipuan kewangan.
Beliau berkata jawatankuasa turut bertanggungjawab menentukan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian, menilai keberkesanan mekanisme aduan serta memantau penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.
Katanya, jawatankuasa itu juga akan melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan teknologi pemalsuan wajah (deepfake).