RMK13 fokus utama sidang Dewan Rakyat, kata speaker

RMK13 fokus utama sidang Dewan Rakyat, kata speaker

Johari Abdul tidak tolak masa bersidang sehingga 11 malam.

Johari Abdul-Penang assembly
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, berkata pihaknya terima pelbagai usul Ahli Parlimen dan jangka perjalanan dewan kali ini akan sibuk dengan pelbagai urusan.
PETALING JAYA:
Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung bermula Isnin ini hingga 28 Ogos depan dijangka berlarutan hingga malam dengan fokus utama mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Speaker Johari Abdul, berkata pihaknya turut menerima pelbagai usul Ahli Parlimen dan menjangkakan perjalanan Dewan Rakyat kali ini akan sibuk dengan pelbagai urusan.

“Sebab itu saya minta supaya rakyat di bawah apabila kita kemukakan RMK13 mesti memberikan maklumat kepada wakil rakyat mereka…apa lagi yang mereka mahu wakil rakyat mereka patut cakap (di Parlimen).

“Rakyat di bawah, sementara dia dengar ucapan di Parlimen itu dia mesti ‘tag’ terus kepada Ahli Parlimen mereka supaya suara mereka didengari…jangan lepas Ahli Parlimen balik ke kawasan baru nak mengadu, masa dia bercakap (di Parlimen) terus ‘tag’.

“Sebab kita (Dewan Rakyat) berikan masa yang cukup panjang dan Parlimen kali ini akan sampai malam, mula pada 10 pagi dan saya mungkin saya akan akan buka sampai sampai 10 atau 11 malam,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Taman Pekan Baru, Sungai Petani.

Johari berkata, selaras peranan sebagai pengerusi Asean tahun ini, pembentangan RMK13 juga dilihat sangat penting menonjolkan kemampuan dan kedudukan negara yang berada dalam keadaan baik, di sebalik situasi tidak menentu di peringkat global.

Sementara itu, beliau menggesa masyarakat memanfaatkan segala bentuk perkhidmatan yang disediakan di Nadi bagi menjana pendapatan dan mengubah nasib mereka.

Beliau berkata, Nadi bukan hanya berperanan menawarkan akses kepada kemudahan digital dan pelbagai program komuniti, malah mampu menjadi pusat sehenti mendapatkan peluang perniagaan.

“Ia mampu menjadi tempat ‘one-stop centre’ untuk segala-galanyalah, membantu memberikan maklumat kepada rakyat tempatan dan memberikan ilmu yang diperlukan dalam semua bidang.

“Ia bukan sahaja dari segi akademi tetapi juga bidang yang lain. Jadi seperti yang saya sebutkan tadi bahawa anak-anak muda khususnya harus mengambil kesempatan dengan kewujudan pejabat NADI untuk menimba ilmu dan berkomunikasi dengan komuniti yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.