
Kementerian Kesihatan berkata, jururawat yang telah menamatkan kursus penukaran akan dinaikkan pangkat daripada gred U1 (RM1,500 hingga RM4,680) kepada gred U5 (RM1,791 hingga RM5,791).
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dijangka menyelesaikan proses lantikan itu menjelang bulan depan, tambahnya.
“Setakat ini, kita telah melatih semula seramai 6,310 jururawat masyarakat, termasuk angka yang disebutkan tadi.
“Baki jururawat tersebut telah ditempatkan semula di hospital dan institusi lain di bawah Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan kekurangan jururawat,” kata kementerian dalam jawapan bertulis kepada Senator RA Lingeshwaran minggu lalu.
Presiden Kesatuan Bidan dan Jururawat Masyarakat Nurul Janah Yusof, memberitahu FMT bahawa jururawat terlibat bakal menikmati kenaikan gaji antara RM400 hingga RM600.
Beliau berkata jururawat mula menerima surat pelantikan mereka melalui e-mel semalam, meminta mereka melaporkan diri di tempat kerja baharu mereka pada 12 Okt.
Beliau berkata, langkah yang sudah lama tertangguh itu akan meningkatkan prospek kerjaya bagi sebahagian daripada 18,000 jururawat masyarakat di negara ini, selain membantu mengurangkan kekurangan kakitangan di hospital.
“Kami telah merayu kepada kerajaan supaya menaik taraf semua mereka melalui satu latihan khas sekali gus, justeru banyak membantu hospital. Mereka ini ialah jururawat yang sangat berpengalaman dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah dalam peranan di hospital.”
“Proses latihan semula sedia ada amat perlahan dan hanya dapat menampung kira-kira 50 orang bagi setiap kursus. Ini kerana ramai daripada mereka tidak dapat dilepaskan untuk mengikuti kursus kerana ia akan menjejaskan operasi harian di klinik luar bandar. Ramai yang akan bersara sebelum sempat dihantar ke kursus tersebut,” katanya.

Nurul berkata, jururawat masyarakat boleh terus berkhidmat dalam peranan mereka di kawasan luar bandar walaupun sebagai jururawat terlatih, memandangkan tugas mereka masih penting bagi perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Lingeshwaran kerana meneruskan perjuangan mereka di Dewan Negara dan sentiasa menekankan nasib mereka kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Jururawat masyarakat berkhidmat di kawasan pedalaman dengan menyediakan penjagaan asas seperti membantu kelahiran, perkhidmatan pra dan pasca bersalin, pendidikan kesihatan serta perancangan keluarga.