‘Ajar saya maksud tak abai kaum bukan Melayu’, Ramanan bidas Santiago

‘Ajar saya maksud tak abai kaum bukan Melayu’, Ramanan bidas Santiago

R Ramanan berkata banyak sumbangan kepada komuniti India di bawah kerajaan semasa termasuk lebih RM0.5 bilion disalur menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

R Ramanan membalas semula kritikan dilontarkan oleh Charles Santiago terhadapnya.
PUTRAJAYA:
Naib Presiden PKR R Ramanan membalas kritikan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, yang mendakwa kerajaan mengabaikan realiti golongan bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa.

Ramanan secara sinis meminta bekas wakil rakyat DAP itu mengajarnya apa maksud sebenar ‘tidak mengabaikan’ orang bukan Melayu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu juga secara berseloroh adakah beliau telah mengabaikan nasib orang India apabila RM0.5 bilion disalurkan kepada komuniti itu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Saya harap dia boleh ajar saya apa itu maksud tak abaikan orang bukan Melayu,” kata timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India Tahun 2025.

Isnin lalu, Santiago mendakwa pandangan Ramanan bahawa visi Madani kerajaan memaksa Perikatan Nasional (PN) meluaskan tumpuan terhadap pengundi bukan Melayu adalah satu ‘salah diagnosis’ yang boleh membawa kepada penyelesaian tidak tepat menjelang PRU akan datang.

Pada Sabtu, Ramanan menegaskan penekanan kerajaan Madani terhadap keterangkuman, tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau kumpulan, menjadi punca mengapa parti seperti PAS mula mendekati komuniti India.

Dalam pada itu, Ramanan turut mempersoalkan pencapaian Santiago sepanjang menjadi Ahli Parlimen dengan mendakwa komuniti India menikmati banyak manfaat di bawah pentadbiran sekarang.

Menurutnya, hampir RM1 bilion disalurkan masing-masing untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Bantuan untuk sekolah Tamil juga berjumlah hampir RM1 bilion dengan lebih 400 sekolah menerima manfaat daripada inisiatif terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.