
Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh M Jaykumar, 39.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kematian K Kamala dan S.Silvaraja disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan tertuduh.
Hakim berhujah mahkamah turut menimbangkan tiada kesan darah si mati dijumpai pada pakaian atau barangan lain tertuduh dan pegawai penyiasat juga tidak mengambil pakaian atau barangan lain milik tertuduh bagi mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua si mati.
“Pendakwaan gagal membuktikan sama ada barang kemas yang dijual di pajak gadai oleh tertuduh milik Kamala selain anak Kamala dalam keterangan juga tidak dapat mengesahkan sama ada barang kemas tersebut milik ibunya. Terdapat keraguan apabila masih terdapat barang kemas bersama Kamala.
“Pendakwaan cuba bergantung kepada teori tertuduh orang terakhir bersama si mati. Merujuk ini pendakwaan memilih 31 Okt lebih kurang 7 malam hingga 1 Nov lebih kurang 3 pagi.
“Mengikut saksi, Kamala pada 11.50 malam masih bercakap melalui telefon. Bagaimana pendakwaan memilih 7 malam sedangkan si mati masih hidup,” kata hakim.
Abu Bakar berkata mahkamah berpendapat tiada keterangan yang mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan kedua-dua si mati.
Jaykumar didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Kamala, 51, dan Silvaraja, 59, di Flat Jalan Hang Jebat 14, Taman Ungku Aminah antara 7 malam hingga 3 pagi pada 31 Okt hingga 1 Nov 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Sebanyak 20 saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Jaykumar diwakili peguam Freda Sabapathy dan K Sarawanan.