
Rampasan dianggarkan bernilai RM2.3 juta termasuk cukai itu dibuat selepas menahan sebuah lori tiga tan dikesan dalam keadaan mencurigakan di Chabang Empat, Tumpat pada 4 pagi Selasa lalu.
Komander PPM Wilayah Tiga, Zulafendy Hassan, berkata anggotanya menghubungi pasukan serbuan ketika mengekori dan memintas sebelah sisi pemandu lori itu sambil memperkenalkan diri serta mengarahkannya menghentikan kenderaan berat terbabit.
“Arahan diberi beberapa kali supaya lori dihentikan, namun tidak diendahkan, sebaliknya terus dipecut laju,” katanya menurut Harian Metro.
“Bantuan daripada pusat kawalan Tumpat diminta untuk mendapatkan kereta peronda bagi menghentikan lori ditambah, memandangkan lori itu turut diiringi dua kereta dipandu tonto.”
Zulafendy berkata, dua kereta dinaiki tonto bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota PPM menaiki kereta serta bermotosikal menyebabkan mereka hampir terbabas.
Beliau berkata, anggotanya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan dua kereta tonto, tetapi semua kenderaan itu terus memecut serta dipandu secara berbahaya.
Menurutnya, insiden mengejar itu berlarutan setengah jam sehingga ke daerah Pasir Mas, sebelum pemandu lori tiba-tiba melompat keluar menyebabkan ia terbabas dan melanggar tiang.
“Tiga tayar lori terbabit pecah disyaki melanggar batu tajam semasa insiden melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut menemui 114 kotak mengandungi 5,700 karton bersamaan 1,140,000 batang rokok putih dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.”
Katanya, semua rampasan dibawa ke markas operasi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.