Hukuman ustaz ganggu seksual pelajar dikekal Mahkamah Rayuan

Hukuman ustaz ganggu seksual pelajar dikekal Mahkamah Rayuan

Hukuman 10 tahun penjara dan dua sebatan dikekalkan ke atas Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan berkata kes gangguan seksual bukan sahaja mencemarkan reputasi perayu sebagai ustaz, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan ke atas bekas guru tahfiz kerana melakukan gangguan seksual ke atas seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab.

Sebelum ini, lelaki berusia 32 tahun itu memohon mengetepikan sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen, yang kemudiannya disahkan Mahkamah Tinggi.

Azman berkata, kes itu bukan sahaja mencemarkan reputasi perayu sebagai ustaz, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.

“Perayu sepatutnya menjadi individu yang mencegah kejadian sebegitu berlaku. Kami mendapati hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan itu adalah wajar dan tidak keterlaluan.

“Hukuman ini seharusnya menjadi pengajaran kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan sedemikian. Oleh itu, rayuan ditolak,” katanya.

Panel lain turut melibatkan Hakim Noorin Badaruddin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad memohon mahkamah mengekalkan hukuman tersebut, sambil menyifatkan kes itu sebagai pelanggaran amanah serius.

“Perayu telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai warden dan guru agama untuk melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik (warden) yang sepatutnya menjadi ruang selamat bagi pelajar,” katanya.

Aznee turut berhujah, mangsa telah menunjukkan keberanian dengan memberikan keterangan konsisten dan terperinci kepada pihak berkuasa serta sepanjang prosiding mahkamah ke atas tertuduh, seorang individu dihormati dalam komuniti sekolah.

Beliau berhujah, kesalahan tersebut bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya didakwa berlaku berulang kali terhadap mangsa sepanjang tempoh setahun.

Pihak pembelaan berhujah, pendakwaan gagal mengemukakan seorang saksi material – iaitu seorang lagi pelajar yang berada dalam bilik berkenaan semasa kejadian berlaku.

Namun, pihak pendakwaan menegaskan keterangan saksi mereka mencukupi membuktikan semua elemen kesalahan.

Perayu diwakili Shuhairil Ziqrul Sapi dan Rahiza Zulkifli.

Pada 23 Dis 2020, Tengku Khaireel didakwa atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual secara fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 1 Dis 2020 di sebuah pusat tahfiz di Kuantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.