Bila Bersatu tak sependapat tukar pimpinan PN, apa pendirian PAS?

Bila Bersatu tak sependapat tukar pimpinan PN, apa pendirian PAS?

PAS seperti cenderung kepada Hamzah Zainudin sebagai pengerusi PN, namun waspada tidak singgung Muhyiddin Yassin dan penyokongnya.

muhyiddin-yassin-hamzah-zainudin
Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah Zainudin, menjadi tumpuan perubahan kepimpinan.
PETALING JAYA:
Penganalisis melihat jelas wujud perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu sama ada Muhyiddin Yassin patut kekal presiden dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) – namun berbeza pandangan sejauh mana sokongan PAS terhadap Hamzah Zainudin mengambil alih kepimpinan.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata PAS tidak menunjukkan komitmen jelas menyokong mana-mana pihak, manakala Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata PAS cenderung sokong Hamzah, namun parti itu enggan menimbulkan ketegangan dengan Muhyiddin dan penyokongnya.

Mazlan berkata, timbul pandangan yang makin berkembang dalam kalangan ahli Bersatu bahawa Muhyiddin wajar menyerahkan tampuk kepimpinan khususnya kepada Hamzah, yang juga ketua pembangkang dan timbalan presiden.

Beliau berkata, Bersatu dan PN kelihatan tidak berkesan sebagai pembangkang ketika ini, manakala perubahan kepimpinan akan memberi ruang secukupnya kepada Hamzah merancang strategi menjelang PRU16.

“Dalam Bersatu, wujud keyakinan sudah tiba masa untuk perubahan kepimpinan, membawa kepada usul Bersatu Port Dickson yang secara asasnya mencadangkan agar Hamzah mengambil alih jawatan presiden,” katanya.

“Saya rasa akar umbi dan kepimpinan dalam PN khususnya Bersatu makin gelisah kerana mereka melihat PN gagal menunjukkan prestasi meyakinkan sebagai pembangkang, apatah lagi untuk membentuk kerajaan selepas PRU16.

“Pada pandangan saya, PN memerlukan wajah baharu untuk PRU16 dan individu paling sesuai ialah Hamzah. PN perlu mempunyai ‘poster boy’ yang jelas supaya matlamat, mesej, dan kempen akan menjadi lebih tersusun,” katanya kepada FMT.

Walaupun Mazlan berpandangan PAS masih tidak menunjukkan komitmen terhadap pelantikan ketua baharu PN, Fauzi pula berkata, adalah jelas parti itu sebenarnya menyokong Hamzah.

Mazlan berkata, bermungkinan PAS juga berpendapat tiba masa perubahan kepimpinan dalam PN, walaupun parti itu belum menyatakan sokongan kepada mana-mana calon.

Katanya, malah PAS dilihat terbuka terhadap cadangan agar jawatan pengerusi PN digilirkan dalam kalangan presiden keempat-empat parti komponen gabungan.

“Buat masa ini, PAS belum menyatakan pendirian rasmi sama ada menyokong Hamzah atau Muhyiddin, namun jika Muhyiddin berundur dan Hamzah mengambil alih, saya percaya PAS akan memberikan sokongan,” kata Mazlan.

Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa mendapat sokongan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk kekal ketua PN, tetapi Mazlan melihat apa diperkatakan Hadi ‘bercakap atas kapasiti seorang rakan’ yang ingin memelihara keharmonian dalam gabungan.

“Bagi saya, kenyataan itu tidak bermakna Hadi akan menolak mana-mana calon lain dicadang untuk menggantikan Muhyiddin, memandangkan Hadi mengambil pendirian mengutamakan perdamaian dan keharmonian dalam PN.”

PAS enggan provokasi Muhyiddin

Fauzi berkata, PAS berhati-hati agar tidak menyinggung Muhyiddin dan penyokongnya, seperti dapat dilihat menerusi cadangan melantik Hamzah mengetuai PN, manakala Muhyiddin pula diberikan peranan penasihat kanan.

Beliau berkata, puak bertentangan dalam Bersatu sedar keperluan mengelak pertembungan terbuka kerana bimbang ia akan memecah-belahkan parti sebagaimana berlaku kepada PKR, selepas pemilihan pada Mei lalu.

“Perpecahan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan parti mentadbir negara dengan berkesan. Bagi parti yang berhasrat mengambil alih kuasa, imej sebagai parti yang bersatu amat penting bagi meyakinkan pengundi, khususnya golongan atas pagar walaupun realiti sebenar di peringkat akar umbi mungkin berbeza,” katanya.

Dengan PRU16 yang semakin hampir, Fauzi berkata peralihan kepimpinan yang lancar menjadi faktor penting kelangsungan Bersatu dan PN. “Ia juga akan berperanan sebagai benteng mengelak pemusatan kuasa hanya kepada satu individu atau puak tertentu,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan Muhyiddin beliau mendapat sokongan Hadi, sambil menyatakan perihal sebenar menghalang bekas perdana menteri itu daripada berundur adalah pemimpin sekelilingnya, yang berkemungkinan bertindak sedemikian demi menjaga kepentingan masing-masing.

“Kalau pun benar Hadi mahu beliau kekal pengerusi PN, mengapa pula Muhyiddin perlu terikat dengan kehendak pemimpin parti lain?” kata Fauzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.