
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu dibuat berikutan ‘pengkhianatan’ parti terbabit selepas keluar daripada PN dan membentuk kerajaan negeri.
“Sangat sukar (kerjasama dengan GRS) kerana parti itu sudah menafikan kita. Adakah anda mahu bekerja dengan mereka jika anda berada di tempat saya?
“(Nama) GRS itu saya berikan ketika mereka baru bermula dulu. Waktu itu, bukan sahaja Bersatu dalam gabungan, ada parti lain. Saya namakan GRS (tapi) tidak berdaftar,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pihaknya bersedia mempertimbang untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain untuk berdepan PRN Sabah.
“PN meneliti dan memperhalusi secara lebih dekat setiap DUN yang dipertandingkan selepas dewan dibubarkan,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin sokongan rakyat Sabah terhadap PN masih kukuh mengambil kira penerimaan rakyat terhadap program jelajahnya selain faktor kegagalan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Penggal lima tahun DUN Sabah akan berakhir pada 11 Nov.
Pada Januari, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan bertanding sekurang-kurangnya 18 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah.
Mei lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengesahkan PAS akan bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi menggunakan logo PN.