
Beliau berkata pihaknya baru sahaja menerima laporan penuh itu dan sedang menelitinya bersama beberapa perkara lain berkaitan.
“Saya sebenarnya baru menerima laporan penuh dan kita sedang teliti lagi perkara-perkara yang melibatkan khususnya kenapa lubang jerlus itu berlaku.
“Selepas itu saya akan bentangkan ke Jemaah Menteri. Jangkaan saya harap sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang medianya selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Taman Shamelin Perkasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bila laporan penuh siasatan insiden lubang benam di Jalan Masjid India akan dibentangkan kepada umum.
Pada 23 Ogos tahun lepas, wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, yang berada di negara ini untuk melancong dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m itu dan gagal ditemui.
Sebelum ini, Zaliha dipetik sebagai berkata, laporan hasil penuh siasatan insiden lubang benam dan laporan penilaian geo akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dahulu sebelum sebarang keputusan diambil sama ada untuk mendedahkannya kepada umum.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, beliau berkata hasil penuh siasatan insiden itu dan kawasan sekitarnya dalam peringkat akhir penelitian oleh pelbagai agensi dengan koordinasi antara ketua polis Dang Wangi dan DBKL.
Menurutnya, beberapa tindakan segera langkah pendek telah dilaksanakan selain langkah jangka panjang oleh DBKL yang akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam untuk memastikan struktur tanah stabil, dengan laporan geoteknikal oleh jurutera bertauliah disediakan untuk kawasan dikenal pasti berisiko.