Dakwaan sogokan RM50 juta terhadap Zaliha ‘disalah tafsir’, bekas pembantu buat laporan SPRM

Dakwaan sogokan RM50 juta terhadap Zaliha ‘disalah tafsir’, bekas pembantu buat laporan SPRM

G Sivamalar berkata laporan itu dibuat bagi merekodkan fakta sebenar secara rasmi dan menjelaskan kekeliruan yang timbul.

sprm
C4 semalam menggesa SPRM menyiasat dakwaan bekas menteri kesihatan Dr Zaliha Mustafa pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar dasar generasi penamat (GEG) tembakau.
PETALING JAYA:
Bekas pembantu Dr Zaliha Mustafa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan mantan menteri kesihatan itu pernah ditawarkan sogokan RM50 juta supaya menarik balik dasar generasi penamat (GEG) tembakau.

G Sivamalar menerusi hantaran di Facebook minggu lalu mendakwa Zaliha pernah ditawarkan wang itu, namun menolaknya tanpa sebarang keraguan.

Ketika dihubungi hari ini, Sivamalar berkata beliau membuat laporan kepada SPRM bagi menjelaskan maksud sebenar kenyataannya.

“Berita itu tular tetapi disalah tafsir. Sebab itu saya buat laporan kepada SPRM untuk jelaskan apa yang saya maksudkan,” katanya kepada FMT.

Dalam satu kenyataan berasingan, Sivamalar menegaskan hantaran media sosialnya itu tidak bertujuan menuduh sebarang salah laku atau membayangkan wujudnya urusan tidak wajar.

Menurutnya, tujuan asal hantaran itu hanyalah untuk menonjolkan integriti dan kepimpinan Zaliha.

“Malangnya, hanya sebahagian kecil kenyataan itu dipetik tanpa konteks dan kemudiannya tular, sehingga menimbulkan salah faham.

“Pada penilaian saya ketika itu, tidak wujud sebarang tawaran rasuah yang jelas atau serius sehingga perlu dilaporkan segera.

“Jika ada cubaan rasuah yang nyata, secara langsung dan jelas, ia pasti akan dilaporkan kepada pihak berkuasa tanpa berlengah,” katanya.

Sivamalar berkata laporan hari ini untuk ‘merekodkan fakta penuh secara rasmi dan memberi penjelasan’.

“Saya juga bersedia memberi penjelasan lanjut jika diperlukan,” tambahnya.

Semalam, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa SPRM menyiasat dakwaan tersebut dan mendedahkan hasil siasatan kepada umum.

Menurut kumpulan itu, Akta SPRM menetapkan bahawa cubaan memberi rasuah juga merupakan satu kesalahan, dan pihak yang membuat tawaran boleh dipertanggungjawabkan walaupun rasuah tersebut tidak diterima.

C4 turut mengingatkan penjawat awam bahawa akta sama mewajibkan sebarang tawaran rasuah dilaporkan kepada SPRM atau polis.

Dr Zaliha berkhidmat sebagai menteri kesihatan dari Disember 2022 hingga Disember 2023.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam mengandungi komponen GEG yang bertujuan melarang merokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2007.

Namun, dasar GEG akhirnya digugurkan susulan keputusan bersama kerajaan di Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.