Zaliha tolak tawaran RM50 juta gugur klausa GEG, dakwa bekas setpol

Zaliha tolak tawaran RM50 juta gugur klausa GEG, dakwa bekas setpol

G Sivamalar berkata tawaran itu dibuat kepada bekas menteri kesihatan sebelum pembentangan RUU tembakau yang mengandungi dasar generasi penamat.

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa menjadi menteri kesihatan dari Disember 2022 hingga Disember 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas setiausaha politik kepada Dr Zaliha Mustafa mendakwa bekas menteri kesihatan itu menolak tawaran RM50 juta oleh individu yang tidak dinamakan untuk menghapuskan dasar generasi penamat (GEG) tembakau.

G Sivamalar berkata, individu terbabit cuba menyogok Zaliha sebelum pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam di Parlimen, pada November 2023.

Sivamalar berkata, Zaliha tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis pada waktu itu kerana mereka ‘tidak mahu membuang masa’, lapor CodeBlue.

“Kami hanya memberikan tumpuan kepada apa yang sepatutnya kami lakukan,” katanya dipetik.

Namun, Sivamalar tidak dapat memperincikan butiran individu yang cuba merasuah Zaliha.

“Ramai (menghubungi kami) melalui broker. Panggilan rawak. Kami menolak secara terus. Malah, Zaliha enggan bertemu sesiapa pun berkaitan perkara itu.

“Apa yang jelas adalah kami tidak berganjak dengan sebarang ancaman atau tawaran. Itulah perkara yang cuba saya sampaikan. Beliau (Zaliha) berpegang teguh kepada prinsip.”

Minggu lalu, Sivamalar dalam catatan di Facebook menyatakan Zaliha sekian lama berpendirian teguh dengan prinsipnya, walaupun berhadapan dengan syarikat tembakau dan entiti besar.

Beliau mendakwa, Zaliha pernah ditawarkan RM50 juta untuk menghapuskan dasar GEG, namun bekas menteri itu menolak cadangan berkenaan tanpa ragu-ragu dan meminta mereka beredar. “Saya ada di sana. Saya sendiri menyaksikannya,” kata Sivamalar.

RUU Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam pada mulanya mengandungi komponen GEG bertujuan melarang amalan merokok dan penggunaan rokok elektronik bagi mereka yang lahir selepas 2007. Dasar GEG digugurkan susulan keputusan kolektif oleh Putrajaya.

Dzulkefly Ahmad, yang kemudiannya mengambil alih portfolio tersebut, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan peguam negara bahawa peruntukan tersebut tidak mengikut Perlembagaan.

Zaliha menjadi menteri kesihatan dari Disember 2022 hingga Disember 2023 dan menteri Wilayah Persekutuan dari Disember 2023 hingga Disember 2025. Beliau digugurkan daripada Kabinet dalam rombakan terbaharu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.