
Kesemua ucapan itu mencerminkan semangat kebersamaan serta tekad kepimpinan negara untuk terus memperkukuh kesejahteraan dan perpaduan nasional dalam mengharungi cabaran 2026.
Antara berkongsi ucapan menerusi media sosial ialah Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang menekankan keperluan politik lebih bertanggungjawab dan berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat demi kemajuan negara.
“Saya percaya Malaysia memerlukan politik lebih bertanggungjawab, fokus kepada penyelesaian masalah dan bukan mencetuskan perpecahan antara rakyat demi kepentingan sendiri.
“Malaysia tidak boleh kembali kepada amalan lama yang menghakis kepercayaan rakyat dan membantutkan kemajuan negara,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi kebanyakan rakyat serta cabaran peningkatan kos operasi dalam kalangan komuniti perniagaan, dan akan terus menangani isu berkenaan melalui dasar praktikal serta pelaksanaan berkesan.
Seiring penekanan itu, Menteri Sumber Manusia R Ramanan dalam perutusan berasingan turut menekankan aspek kesejahteraan rakyat dan pembangunan berteraskan nilai kemanusiaan.
Beliau menyifatkan tahun baharu sebagai ruang muhasabah terhadap perjalanan negara serta tanggungjawab bersama, selain menegaskan komitmen memperkukuh pembangunan modal insan negara.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menerusi kenyataan di Facebook merakamkan penghargaan kepada petani, penternak dan nelayan yang disifatkan sebagai tunjang kepada keterjaminan makanan negara.
“Usaha dan pengorbanan anda semua merupakan asas kepada keterjaminan makanan negara,” katanya menegaskan, komitmen kementerian untuk terus memperkasa sektor pertanian, perikanan dan penternakan melalui sokongan berterusan, inovasi serta dasar berteraskan kebajikan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya berjaya melaksanakan 762 program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi merapatkan jurang sosial dan memperkukuh perpaduan nasional.
Beliau berkata, kejayaan itu berpaksikan prinsip ‘Faham, Hormat dan Terima’ sebagai tunjang kepada pemeliharaan harmoni dalam kepelbagaian, selain menegaskan usaha membina negara dan bangsa akan terus diperkasa selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup menyifatkan 2025 sebagai tempoh penuh pengajaran dan pengalaman yang membentuk ketahanan dalam menghadapi cabaran.
“Dengan kesibukan jadual luar biasa tetapi tidak ada penyesalan kerana dengan pengetahuan saya telah melakukan yang terbaik dalam setiap cabaran dihadapi,” katanya.
Bagi Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad, penghujung 2025 digambarkan sebagai fasa penuh perubahan yang menyaksikan kejatuhan dan kebangkitan semula dengan kekuatan yang lebih utuh.
“Akhirnya kita sampai di penghujung 2025. Ada yang pergi, ada yang datang. Kita jatuh, tapi bangun semula lebih kuat,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir pula menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 menerusi hantaran poster di Facebook yang memaparkan kolaj program dan aktiviti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang 2025.