
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki itu antara empat individu ditahan setakat ini berkaitan pembunuhan yang berlaku pada 24 Jun lalu, lapor Utusan Malaysia.
Katanya, tiga individu lain yang ditahan adalah seorang rakan serumah mangsa, seorang kenalan mangsa yang tinggal di unit apartmen berasingan dan seorang wanita yang juga teman wanita suspek utama.
Hussein berkata, berdasarkan siasatan suspek dipercayai mempunyai kad akses yang diberi teman wanitanya, masuk ke rumah mangsa yang ketika itu tinggal seorang diri kerana rakan serumahnya pulang ke kampung.
“Suspek mengambil kesempatan ke atas mangsa yang ketika itu menunggu untuk menduduki kertas terakhir peperiksaan.
“Suspek memang pernah beberapa kali datang dan bermalam di rumah tersebut, jadi dia ada peluang pada malam 24 Jun,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja turut menyamun mangsa dengan mengambil barangan seperti telefon bimbit dan komputer riba serta sempat berbelanja sebanyak RM200 menggunakan kad ATM milik mangsa.
Katanya, suspek juga bertindak membuang telefon bimbit dan menyerahkan komputer riba serta kunci dan kad akses kediaman mangsa kepada seorang lagi individu yang juga saksi kes tersebut.
“Sebahagian barang kes berjaya ditemukan polis. Kita percaya kita akan lengkapkan (siasatan) dalam masa terdekat.
“Dengan penahanan suspek dan individu lain kes ini dianggap selesai,” katanya.
Penuntut ijazah sarjana muda fisioterapi, Maniishhapriet Kaur Akhara, 20, ditemui mati di unit kondominiumnya oleh seorang rakan kira-kira 10 pagi pada 24 Jun lalu.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, tinggal di unit itu bersama lima pelajar lain, tetapi rakan serumahnya dilaporkan pulang ke kampung untuk bercuti pada 21 Jun lalu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.