
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Gob, Hady Liman, berkata semua pelajar itu menamatkan sesi persekolahan 2025 dan memulakan perjalanan pulang menaiki kenderaan pacuan empat roda pada 12 tengah hari selepas dibenar keluar asrama.
Katanya, pelajar terbabit terdiri murid dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, SMK Tengku Indera Petra 1 serta Sekolah Kebangsaan Kuala Betis.
“Mereka tiba di Pos Gob sekitar 4 pagi dalam keadaan basah kuyup dan kelaparan. Ibu bapa yang menunggu turut berasa cemas kerana hujan lebat berterusan sejak awal minggu ini,” katanya memetik Bernama, di Gua Musang.
Hady berkata, sepanjang perjalanan, pelajar terpaksa berdepan pelbagai risiko termasuk melalui laluan jalan tanah merah yang berselut tebal serta paras air Sungai Puian yang meningkat dengan cepat dan berarus deras.
Sehubungan itu, dia berharap kerja menaik taraf laluan ke Pos Gob dapat dipercepat, termasuk menurap sementara laluan utama dari simpang Pos Simpor ke Pos Gob dengan batu kerikil bagi mengelakkan keadaan jalan menjadi licin.
Sementara itu, penduduk setempat Yusman Andok, 45, berkata semua jenis kenderaan berdepan kesukaran untuk melalui laluan berkenaan akibat becak dan berlumpur tebal.
“Perjalanan yang biasanya mengambil masa sekitar lima hingga enam jam kini memakan masa sehingga 16 jam, termasuk untuk sampai ke beberapa kampung sekitar Pos Gob seperti Kampung Berog, Kampung Kelerang, Kampung Pinchong, dan Kampung Gob,” katanya.