
Ketua Polis Baling Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira 7 malam, lapor Sinar Harian.
Katanya, mangsa yang maut berusia 60-an manakala ibunya yang parah dalam serangan itu berusia 80-an.
“Mangsa yang maut mempunyai kesan tikaman di belakang badan manakala mangsa yang parah mempunyai kesan tetak di belakang leher.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan dan mayat mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Tambahnya, seorang lelaki yang disyaki suspek kejadian itu turut ditahan dan polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Baling pagi ini untuk membantu siasatan.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.