
Menyifatkan pengkritik sebagai tidak konsisten, Anwar berkata ini kerana kumpulan itu juga pada masa sama turut bercakap mengenai kebebasan mahkamah untuk menyelesaikan isu rasuah dalam negara.
“Seorang dapat DNAA dan perdana menteri dikecam oleh satu kumpulan. Kemudian minggu berikutnya, orang lain pula dapat DNAA, dan perdana menteri juga dikecam oleh kumpulan lain pula.
“Tetapi orang ini bercakap tentang kebebasan kehakiman. Apa sebenarnya mereka mahu. Mahu saya menjadi diktator dengan memaksa hakim membuat keputusan berdasarkan pandangan peribadi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Simposium Asean Madani Leadership Program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
Sementara itu, Anwar turut melahirkan rasa hairan dengan sikap hipokrit sesetengah pihak yang hanya menumpukan kepada individu tertentu semata-mata, dalam mempersoalkan tentang amalan rasuah.
Beliau berkata, mereka tidak menafikan hakikat berbilion ringgit diseleweng, tetapi pada masa sama langsung tidak memberi sokongan kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Apa yang tidak kena dengan sistem kita. Kita sepatutnya bebas untuk bersuara. Saya tidak menyatakan kita harus terjerumus ke dalam politik kepartian, tetapi kita seharusnya tertarik kepada etika dan nilai.
“Hanya kerana para hartawan ini menyokong mereka, menyokong organisasi mereka, menyokong parti mereka, atau menyokong masyarakat sivil mereka, itu tidak bermakna kita harus mengabaikan atau menutup mata terhadap amalan rasuah yang berlaku pada masa lalu,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas perdana menteri Najib Razak diberi DNAA dalam kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy membuat keputusan itu selepas memutuskan pihak pendakwaan tidak mampu meneruskan kes dalam tempoh masa munasabah.
Selain Najib, Presiden Umno Zahid Hamidi juga dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah pada 2023 atas 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.