Kerajaan akan bentang semula RUU pisah kuasa AG, had penggal PM

Kerajaan akan bentang semula RUU pisah kuasa AG, had penggal PM

Sidang Dewan Rakyat seterusnya dijangka berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai.

AZALINA_OTHMAN
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman berkata beberapa agenda reformasi institusi juga dilaksanakan bulan ini termasuk pelaksanaan Tribunal Antibuli.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membentangkan semula pindaan Perlembagaan bagi memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya pada sidang Parlimen akan datang, selain cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.

Sidang Dewan Rakyat seterusnya dijangka berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada Fasa II Kerangka Akauntabiliti Madani yang akan dilaksanakan dari Mei hingga Ogos.

“Kerajaan bersetuju agar RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya serta pengehadan tempoh jawatan perdana menteri akan dibentangkan semula pada sidang yang sama,” katanya di facebook.

Azalina berkata fasa tersebut akan fokus kepada pengukuhan integriti, hak asasi, sistem keadilan serta pembangunan infrastruktur kehakiman negara.

“Memasuki Fasa II bermula Mei, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk penggubalan RUU Ombudsman Malaysia dan Akta Kebebasan Maklumat pada sidang Parlimen seterusnya,” katanya.

Katanya, beberapa agenda reformasi institusi juga dilaksanakan pada April, termasuk pelaksanaan Tribunal Antibuli sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan terhadap mangsa dan menangani isu buli secara lebih menyeluruh seperti yang diperuntukkan dalam Akta Antibuli 2026.

“Langkah ini cerminkan tekad dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan setiap agenda reformasi dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berimpak demi membina sistem yang lebih telus, berakauntabiliti dan berdaya tahan untuk masa depan negara,” katanya.

Dewan Rakyat sebelum ini gagal meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun selepas tidak memperoleh majoriti dua pertiga, iaitu 148 undi.

RUU itu memperoleh 146 undi menyokong, dengan 44 berkecuali dan 32 tidak hadir.

Pada 3 Mac lalu, kerajaan mengumumkan bahawa RUU bagi memisahkan fungsi berganda peguam negara telah ditangguhkan dan dirujuk kepada sebuah jawatankuasa Parlimen yang baharu ditubuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.